BINTULU: Lebih banyak syarikat swasta, khususnya di Bintulu dan kawasan sekitarnya, digesa tampil memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi kerajaan serta institusi pendidikan bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata pelibatan sektor swasta menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bukan sahaja mampu meringankan beban keluarga, malah memastikan bantuan pendidikan dan pembangunan murid dilaksanakan secara lebih terancang serta bersasar.
Beliau berkata, persediaan persekolahan yang mencukupi dan pemakanan berkhasiat penting dalam menyokong perkembangan murid, selain membantu guru menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan.
“Persediaan persekolahan yang baik bukan sahaja memberi keyakinan kepada murid, malah meringankan beban keluarga.

“Begitu juga dengan penyediaan nutrisi serta bahan pendidikan yang bersesuaian kerana ia membantu guru menyampaikan ilmu dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugasnya, Steven Kong Kai Seng pada program sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia Tahun 2026 Peringkat Zon 3 Sarawak dan Inisiatif CSR Back-to-School Dutch Lady Malaysia di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Menerusi inisiatif CSR Back To School tersebut, seramai 200 murid di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu dan PPD Tatau-Sebauh menerima sumbangan kelengkapan persekolahan bagi persediaan menghadapi sesi persekolahan 2027.

Tiong turut merakamkan penghargaan kepada Dutch Lady Malaysia atas komitmen berterusan menjayakan program Menutrisi Sarawak yang menggabungkan pendidikan nutrisi dengan sokongan persediaan awal persekolahan untuk murid.
Menurutnya, kerjasama antara sektor awam dengan swasta perlu terus diperkukuh bagi memastikan lebih banyak inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat dapat dilaksanakan.
Ends.
Caption:
1: Steven menyampaikan beg sekolah di bawah Inisiatif CSR Back To School Dutch Lady Malaysia kepada salah seorang penerima.






