KUCHING: Pembangunan empat zon utama di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) perlu dilaksanakan secara seimbang bagi memastikan kawasan luar bandar tidak ketinggalan daripada kepesatan pembangunan pusat bandar.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Zon Muara Tuang, Stakan, Asajaya dan Sadong mempunyai keperluan serta potensi tersendiri yang perlu diberikan perhatian dalam perancangan pembangunan jangka panjang Samarahan.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi mengelakkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan penempatan luar bandar, selain memastikan semua penduduk menikmati kemudahan asas dan peluang ekonomi yang lebih baik.
“Saya mahu pembangunan di keempat-empat zon ini dirancang secara menyeluruh supaya manfaat kemajuan dapat dinikmati oleh semua penduduk, termasuk masyarakat luar bandar.
“Kita perlu memastikan pertumbuhan Samarahan tidak mewujudkan jurang pembangunan yang terlalu besar antara kawasan bandar dengan penempatan yang lebih jauh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 MPKS, malam tadi.
Mengulas lanjut ujarnya, Zon Muara Tuang memerlukan peningkatan infrastruktur dan perkhidmatan perbandaran bagi menampung pertumbuhan pesat kawasan perumahan, institusi pendidikan serta kegiatan ekonomi.
“Bagi Zon Stakan pula, keperluan perancangan penempatan yang lebih teratur, khususnya melibatkan jaringan jalan raya, sistem saliran dan kemudahan awam.
“Manakala, Zon Asajaya mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian dan ekonomi luar bandar, termasuk peluang pembangunan yang mungkin diwujudkan menerusi cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Tanjung Embang,” ujarnya.
Sementara itu katanya, Zon Sadong perlu terus diberikan perhatian dalam penyediaan kemudahan asas, peningkatan akses perhubungan dan peluasan peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.
“Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) pula memainkan peranan penting dalam menyelaras dan mempercepat pelaksanaan projek pembangunan di Bahagian Samarahan, termasuk infrastruktur, tebatan banjir, pertanian serta pelancongan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu kerjasama antara IRSDA, MPKS, kementerian, jabatan kerajaan dan pemimpin masyarakat diperkukuh supaya setiap projek dapat dilaksanakan mengikut keutamaan tanpa pertindihan perancangan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pertumbuhan penduduk Kota Samarahan yang kini menghampiri 200,000 orang menuntut MPKS meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, khususnya dalam aspek pengangkutan, kebersihan, infrastruktur dan kemudahan awam.
Tegasnya, perkembangan Samarahan perlu seiring keupayaan pentadbiran pihak berkuasa tempatan yang lebih cekap agar pertumbuhan penduduk dan pembangunan fizikal dapat diurus dengan baik demi kesejahteraan masyarakat.






