ARTIKEL

Kontinjen Warga Emas Sarawak Sedia Galas Cabaran Tiga Acara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kontinjen warga emas Sarawak bersedia menggalas cabaran dalam tiga acara sukan pada Liga Sukan Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2026 yang dijadual berlangsung pada 14 November ini.

Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Sarawak berkata, kontinjen negeri akan berentap dalam acara petanque, baling damak dan boling tenpin, sekali gus membawa aspirasi membuktikan usia bukan penghalang untuk terus aktif dan berdaya saing.

“Penyerahan bendera menjadi simbol amanah serta harapan agar kontinjen Sarawak menampilkan prestasi terbaik dengan semangat kesukanan yang tinggi.

“Sokongan ini diharapkan dapat meningkatkan keyakinan peserta untuk membawa cabaran negeri dengan penuh semangat serta menjunjung nilai perpaduan dan kerjasama sepanjang kejohanan peringkat kebangsaan berlangsung,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut JBSN Sarawak, penyertaan dalam kejohanan berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada warga emas menguji kemampuan, malah menjadi platform menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat.

“Penyertaan ini turut mencerminkan komitmen menggalakkan warga emas kekal aktif, sihat dan berdaya saing menerusi sukan, di samping mengeratkan hubungan silaturahim.

“Kontinjen diharapkan dapat mengharumkan nama Sarawak serta membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus mencipta kejayaan,” ujarnya.

Selain memburu pencapaian terbaik, kejohanan itu menjadi medan memperkukuh hubungan persahabatan dan perpaduan dalam kalangan warga emas dari seluruh negara.

Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak berlangsung di Auditorium Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak, semalam, sebagai persiapan terakhir sebelum pasukan menyertai pertandingan berkenaan.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda JBSN Sarawak, Hafizah Dahlan, yang turut memberikan dorongan kepada peserta untuk membawa nama negeri dengan penuh keyakinan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU