KUCHING: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) perlu memberikan tumpuan kepada lima keutamaan bagi memastikan pembangunan kawasan pentadbiran lebih terancang, mampan dan memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keutamaan itu merangkumi peningkatan infrastruktur, kebersihan persekitaran, kecekapan penyampaian perkhidmatan, pembangunan inklusif serta kerjasama strategik antara agensi.
“Melangkah ke hadapan, saya mahu MPKS memberikan perhatian kepada lima keutamaan utama dalam menentukan hala tuju pembangunan Samarahan.
“Peningkatan status kepada Majlis Perbandaran bukanlah destinasi terakhir, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 MPKS di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut ujarnya, keutamaan pertama melibatkan penambahbaikan jalan raya, sistem perparitan, lampu jalan, kawasan rekreasi dan kemudahan komuniti bagi memenuhi keperluan pembangunan serta pertambahan penduduk Samarahan.
“Sebuah kawasan perbandaran yang maju bukan sahaja dinilai melalui bangunan dan infrastruktur, tetapi juga berdasarkan tahap kebersihan, pengurusan sisa pepejal, penyelenggaraan landskap serta keselesaan persekitaran yang dinikmati oleh masyarakat,” ujarnya.
Bagi keutamaan ketiga, beliau mahu MPKS memperluas penggunaan teknologi digital dalam urusan pentadbiran bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan serta memastikan aduan penduduk dapat diselesaikan dengan lebih cepat.
“Kecekapan penyampaian perkhidmatan perlu terus diperkukuh menerusi tadbir urus yang baik, pengurusan berkesan dan pendekatan yang lebih responsif dengan keperluan masyarakat.
“Sementara itu, keutamaan keempat memberikan penekanan kepada pembangunan inklusif dan mampan yang mengambil kira kesejahteraan masyarakat serta pemeliharaan alam sekitar’,” jelasnya.
Tambahnya, keutamaan kelima pula ialah memperkukuh kerjasama antara MPKS, Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), jabatan kerajaan, sektor swasta dan komuniti bagi memastikan pelaksanaan projek lebih tersusun.
“Saya juga mahu MPKS mengamalkan pendekatan proaktif, inovatif dan berpandangan jauh dalam merancang pembangunan supaya perkhidmatan yang disediakan kekal relevan dengan perubahan keperluan penduduk.
“Kejayaan sesebuah pihak berkuasa tempatan bukan sahaja bergantung kepada dasar dan kepimpinan, tetapi juga komitmen warga kerja serta kerjasama masyarakat,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh warga MPKS memperkukuh budaya kerja berpasukan, integriti dan profesionalisme, selain sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab.
Beliau turut menyeru penduduk Samarahan memainkan peranan menjaga kebersihan persekitaran, memelihara kemudahan awam dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan.





