PADAWAN: Masalah banjir yang kerap melanda kampung di sepanjang aliran Sungai Simboh sehingga ke Sungai Sarawak Kanan ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) bakal ditangani menerusi projek pembersihan dan pendalaman Sungai Simboh sepanjang 16.1KM.
Timbalan Menteri Datuk Dr Jerip Susil berkata, keadaan Sungai Simboh yang cetek selain faktor pembangunan membuatkan kawasan kampung sekitar sering dilanda banjir.
Sehubungan itu, projek yang dilaksanakan bernilai sekitar RM750,000 itu akan meningkatkan kapasiti sungai sekali gus mengurangkan risiko banjir di kawasan sekitarnya.
“Sungai ini sewaktu musim landas selalu mendatangkan banjir kepada kampung-kampung sekitar. Dan sini pembangunan, misalnya pembangunan penjara, PULAPOL, dan juga pembangunan kampung menyebabkan adanya hakisan tanah pergi ke sungai menyebabkan sungai semakin sempit.
“Banyak juga batang buluh dan batang-batang kayu yang ada di sungai. Jadi, sangat penting bagi kita untuk membersihkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual media selepas menyempurnakan penyerahan tapak projek Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi projek pembersihan sungai di Kampung Simboh, di sini hari ini.

Projek tersebut dilaksanakan oleh Calendula Enterprise membabitkan Kampung Simboh, Kampung Sikog, Kampung Mambong, Kampung Bawang, Kampung Punau, Kampung Bratan dan Kampung Git telah bermula sejak 13 Oktober lalu dan dijangka siap pada 12 Jun tahun hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, Jerip yang juga penyandang ADUN Mambong berkata beberapa projek pembangunan di bawah GKCDA di kawasan berkenaan siap dilaksanakan, termasuk pembinaan jalan pertanian serta kerja-kerja perparitan di Kampung Simboh.
Selain itu, katanya projek pembinaan dewan serbaguna dan pembersihan sungai di Kampung Jambu turut dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan penduduk setempat.

Sementara itu, projek pemasangan lampu jalan dari PULAPOL hingga Kampung Garung bagi fasa pertama turut memberi manfaat kepada pengguna jalan raya, khususnya dari segi keselamatan dan keselesaan perjalanan pada waktu malam.
Menurutnya, peruntukan RM4.5 juta disediakan bagi pelaksanaan fasa kedua yang akan menyambung pemasangan lampu jalan dari Kampung Garung hingga Kampung Annah Rais.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya menerima maklumat beberapa lampu jalan yang tidak berfungsi, khususnya di kawasan selekoh Kampung Giam dan Kampung Bunuk.
“Kita akan melaporkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR). Jadi mana-mana lampu yang tidak berfungsi ataupun sudah hangus, kita akan lapor kepada JKR sebab ia masih dalam tempoh jaminan,” katanya.






