KUCHING: Sebanyak 421 kes penyakit malaria direkodkan di Sarawak bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Timbalan Premier Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 120 kes malaria berkenaan dikategori sebagai kes import manakala sebanyak 301 kes malaria bagi kategori tempatan.
“Kes Malaria bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini meningkat sebanyak 12 peratus (421 kes) berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022 iaitu sebanyak 375 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Kongres Antarabangsa Perubatan Tropika dan Malaria (ICTMM) 2024 yang ke-21, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendedahkan di Sarawak kes yang banyak direkodkan adalah kes ‘plasmodium knowlesi’ spesies penyakit malaria berjangkit daripada monyet.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, katanya kes malaria Malaysia telah menurun sejak beberapa tahun dengan kurang daripada 4,000 kes dilaporkan pada tahun 2022.
“Dari segi sejarah, Borneo mempunyai penularan penyakit tropika yang lebih tinggi berbanding wilayah lain disebabkan oleh iklim tropika dan kepelbagaian geografi kita. Ini mewujudkan pelbagai habitat bagi penyakit seperti malaria, demam denggi dan penyakit tropika lain.
“Namun, salah satu cara Sarawak menangani perkara ini ialah melalui Pusat Penyelidikan Malaria oleh UNIMAS untuk mengkaji genetik dan penularan malaria.
“Kami juga menantikan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak, yang dijangka dibuka pada tahun 2024 dan perubatan tropika akan menjadi kajian utama di pusat itu,” ujarnya.

