KUCHING: Batik Pelikat Fun Walk 2026 yang disempurnakan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai 450 peserta.
Program anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) yang berlangsung di Pangkalan Sapi di sini, hari ini, mengetengahkan tema Batik Pelikat sebagai usaha mengangkat identiti warisan, menggalakkan generasi muda menghargai serta memartabatkan budaya tempatan dan mengamalkan penjagaan kesihatan.
Pengerusi PPWS Datuk Norhyati Mohd Ismail berkata, program itu bukan sekadar aktiviti sukan dan riadah, malah menjadi platform penting untuk memupuk semangat perpaduan serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan komuniti.

“Ini membuktikan kesedaran masyarakat yang semakin tinggi terhadap kepentingan penjagaan kesihatan fizikal dan mental, di samping meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya semasa berucap.
Beliau menambah, program Fun Walk PPWS dilaksanakan di lima kawasan di Sarawak, iaitu Sibu, Miri, Bintulu, Limbang dan Kuching yang menjadi lokasi terakhir bagi tahun ini.
Tambahnya, PPWS merancang menjadikan program Fun Walk sebagai aktiviti tahunan dengan tema berbeza, selain akan menyambut ulang tahun ke-65 penubuhannya pada tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, Norhyati memaklumkan PPWS akan menganjurkan ‘WeCare 2026: Women Care in Economic Conference’ pada 5 Disember depan sebagai platform perkongsian ilmu dan pengetahuan berkaitan ekonomi penjagaan, khususnya penjagaan warga emas.
Menurutnya, persidangan itu juga sebahagian daripada usaha mempersiapkan golongan wanita menghadapi perubahan demografi Sarawak yang dijangka menjadikan negeri ini masyarakat menua menjelang 2029.





