ARTIKEL

Kuching City tewaskan Gangwon 2-0, Aidil tekad buru final Piala FA

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Selepas kemenangan bersejarah pertama di pentas Asia, Kuching City FC perlu segera mengalihkan tumpuan kepada misi memburu tiket final Piala FA apabila berdepan Selangor FC dalam aksi separuh akhir kedua esok.

Ketua Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, menegaskan kemenangan 2-0 ke atas Gangwon FC dalam saingan Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha Ariffin malam tadi perlu diketepikan sementara bagi memastikan pemain bersedia menghadapi cabaran seterusnya.

“Sekarang kami perlu menetapkan semula fokus kepada kempen Piala FA.

“Kami perlu melupakannya buat sementara waktu kerana keutamaan sekarang ialah memastikan pemain pulih sepenuhnya dan bersedia menghadapi Selangor pada Ahad ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, malam kelmarin.

Menurut Aidil, kebimbangan utamanya ketika ini ialah tahap kecergasan pemain dan beliau berharap kemenangan ke atas Gangwon tidak mengundang masalah kecederaan baharu yang boleh menjejaskan perancangan pasukan.

“Kami sudah kehilangan tujuh pemain dan tidak mahu jumlah itu bertambah. Perkara paling penting ialah memastikan semua pemain menjaga pemulihan mereka dengan baik.

“Saya mahu mereka menikmati kemenangan malam ini, kemudian berehat, pulih dan kembali memberikan sepenuh tumpuan kepada Piala FA,” jelasnya.

Aidil Sharin ketika perlawanan menentang Gangwon FC. Foto: Kuching City FC

Dalam perkembangan berkaitan, Aidil turut mendedahkan pemain pertahanan Declan Lambert mengalami kesakitan pada buku lali selepas dikeluarkan ketika perlawanan menentang Gangwon.

“Beliau mengalami sedikit kesakitan dan kemungkinan terseliuh pada buku lali kerana keadaan padang agak basah dan lembut.

“Kami hanya akan mengetahui tahap kecederaannya selepas pemeriksaan lanjut. Saya berharap ia tidak serius kerana beliau juga berada dalam senarai pemain simpanan untuk panggilan skuad kebangsaan,” katanya.

Mengulas peluang mara ke pusingan kalah mati ACL2 yang kembali terbuka selepas kemenangan ke atas Gangwon, Aidil berkata pertemuan menentang Phnom Penh Crown dari Kemboja perlu rdiketepikan sementara sehingga selesai tugasan Piala FA.

Malah, beliau mengakui jadual padat terus menjadi cabaran apabila enam pemain Kuching City menerima panggilan menyertai skuad kebangsaan, sebelum kembali menghadapi saingan domestik sejurus tamat tugasan antarabangsa.

“Selepas mereka pulang daripada skuad kebangsaan, kami hanya mempunyai dua hari sebelum menghadapi Negeri Sembilan di gelanggang lawan, dengan perlawanan dijadual berlangsung pada jam 5 petang.

“Terlalu banyak faktor perlu diambil kira, termasuk pemulihan pemain, jadual perjalanan dan keadaan cuaca. Sebab itu kami perlu menguruskan persiapan dengan teliti,” ujarnya.

Kuching City yang ketinggalan 1-2 secara agregat selepas aksi separuh akhir pertama Piala FA kini perlu bangkit pada pertemuan kedua menentang Selangor bagi merealisasikan impian mara ke pentas final.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU