KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea selepas menewaskan pasangan Jepun, Haruki Kawabe-Kenta Matsukawa, di Yeosu semalam.
Pasangan pilihan ketiga yang menjuarai Terbuka Perancis bulan lepas itu menang 21-14, 26-24 dalam aksi suku akhir di Stadium Jinnam selama 36 minit.
Biarpun diasak hebat pada set kedua, Wei Chong-Kai Wun kekal tenang untuk menamatkan perlawanan dua set dan terus mengekalkan peluang meraih satu lagi gelaran.
Di separuh akhir, mereka akan berdepan pilihan utama, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, yang belum pernah dikalahkan gandingan Malaysia itu dalam enam pertemuan terdahulu seperti dilapor Bernama.
Dalam pada itu, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, terhenti di suku akhir selepas tewas 14-21, 18-21 kepada pilihan utama dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.






