KUCHING: Sering dibandingkan dengan bekas tonggak Kuching City FC, Moses Atede, pemain tengah bertahan berasal dari Jepun, Kaishu Yamazaki memilih untuk membuktikan kemampuannya menerusi kerja keras dan sumbangan kepada pasukan.
Kaishu yang beraksi sepanjang 84 minit ketika Kuching City menewaskan Gangwon FC 2-0 dalam saingan Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, malam kelmarin, mengakui sentiasa berusaha meningkatkan prestasi demi membantu skuad The Cats mencapai kejayaan.
“Sudah tentu saya berasa penat selepas perlawanan ini, tetapi saya sentiasa memaksa diri untuk memberikan yang terbaik,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan, malam kelmarin.


Kemenangan hasil dua jaringan Safawi Rasid itu menyaksikan Kuching City meraih tiga mata pertama dalam kempen sulung ACL2 selepas empat perlawanan peringkat kumpulan.
Mengulas kejayaan bersejarah berkenaan, Kaishu menyifatkannya sebagai pencapaian penting bukan sahaja buat Kuching City, malah buat Sarawak yang menyaksikan wakilnya mencatat kemenangan di pentas kelab Asia.
“Ini kemenangan yang sangat penting buat kami. Bukan sahaja untuk pasukan, tetapi juga untuk Sarawak kerana ini merupakan tiga mata pertama kami dalam pertandingan antarabangsa,” ujarnya.
Bagaimanapun, pemain tengah itu tidak mahu skuad The Cats terlalu lama meraikan kejayaan tersebut kerana satu lagi cabaran besar menanti dalam waktu terdekat.
Kuching City dijadual menentang Selangor FC pada aksi separuh akhir kedua Piala FA 2026/2027, esok, dan perlu bangkit daripada kekalahan 1-2 pada pertemuan pertama untuk memburu tiket ke final.

“Hari ini kami menang dan sudah tentu mahu menikmati kemenangan ini, tetapi Ahad nanti ada satu lagi perlawanan besar.
“Jadi, selepas meraikan kejayaan malam ini, esok kami perlu kembali memberikan tumpuan kepada perlawanan seterusnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kaishu turut meluahkan rasa selesa bersama Kuching City, terutama dengan sokongan rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan yang banyak membantunya menyesuaikan diri.
“Pengalaman saya di Kuching sangat baik. Semua orang melayan saya dengan baik dan jurulatih sentiasa memberikan sokongan untuk membantu saya meningkatkan kemampuan.
“Bandar Kuching juga sangat menyenangkan dan saya benar-benar menikmati kehidupan serta pengalaman bermain di sini,” katanya.
Kaishu yang memperlihatkan daya tahan tinggi di bahagian tengah sepanjang pertemuan menentang Gangwon turut mengakui tuntutan fizikal perlawanan itu tidak mudah, namun tetap berusaha mengekalkan intensiti permainannya sehingga tamat aksi.
Kemenangan ke atas Gangwon membolehkan Kuching City mengumpul empat mata daripada empat perlawanan, sekali gus kembali membuka peluang untuk bersaing merebut tempat ke pusingan kalah mati ACL2.






