KUCHING: Sarawak mempunyai asas perundangan sendiri untuk mengenakan levi karbon, sekali gus memperkukuh kawalan negeri terhadap pelepasan gas rumah hijau dan pengurusan sumber alam.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu berlandaskan kedudukan Sarawak yang mempunyai bidang kuasa terhadap tanah dan sumber hutan, selain peruntukan undang-undang berkaitan alam sekitar yang diperkenalkan negeri.
Beliau berkata, Sarawak memilih mekanisme levi karbon berikutan bidang kuasa percukaian berada di bawah Kerajaan Persekutuan, sedangkan pengurusan tanah dan sumber alam ialah bidang kuasa negeri.
“Kalau kita hendak mengenakan cukai karbon, dari segi Perlembagaan, percukaian adalah bidang kuasa Persekutuan, tetapi tanah adalah milik kita.
“Jadi, kita mengenakan levi karbon dan hasil itu akan menjadi komponen berkaitan cukai karbon,” katanya ketika berucap sebelum menyempurnakan Majlis Apresiasi Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESTY) serta Pelancaran Pelan Karbon Sifar Bersih di sebuah hotel di sini, semalam.

Abang Johari berkata, Sarawak sudah mempunyai undang-undang sendiri berkaitan pengurangan pelepasan gas rumah hijau dan perdagangan karbon, sekali gus menyediakan asas untuk negeri menguruskan aktiviti berkaitan sumber karbon.
Menurutnya, pendekatan itu turut mengambil kira kedudukan tanah dan hutan sebagai sumber milik negeri yang mempunyai peranan penting dalam penyerapan karbon serta pemeliharaan ekosistem.
Beliau berkata, Sarawak juga meluluskan undang-undang berkaitan penyimpanan, penggunaan dan penangkapan karbon (CCUS) bagi membolehkan negeri menguruskan sumber berkenaan secara lebih tersusun.
“Perkara yang sama juga berlaku dalam isu karbon. Saya sudah memberitahu Kerajaan Persekutuan bahawa kita mempunyai undang-undang sendiri, malah kita sudah mendahului mereka dalam perkara ini,” katanya.
Menurut beliau, aktiviti perdagangan karbon tetap perlu mengambil kira keperluan pendaftaran antarabangsa di bawah Perkara 6 Perjanjian Paris bagi memastikan urus niaga kredit karbon mematuhi kerangka yang ditetapkan.
“Hasil daripada levi karbon itu akan membantu Sarawak membiayai usaha pemuliharaan alam sekitar, selain menyokong pelaksanaan strategi rendah karbon negeri.
“Selain itu, Sarawak turut memperkenalkan perundangan berkaitan pengurusan sisa bagi membolehkan bahan buangan dimanfaatkan sebagai sumber ekonomi dan bukan sekadar dilupuskan.
Beliau berkata, semua langkah berkenaan sebahagian daripada usaha membangunkan ekonomi negeri secara seimbang tanpa mengabaikan tanggungjawab memelihara alam sekitar.
“Net zero tidak bermaksud kita tidak boleh membangun. Kita masih boleh membangun, tetapi persoalannya ialah bagaimana kita mengimbangi pembangunan itu melalui kaedah pengurusan baharu, pendigitalan dan teknologi.
“Sarawak perlu terus memperkukuh kerangka perundangan dan pengurusan sumber alam bagi memastikan pembangunan ekonomi dapat diteruskan tanpa menjejaskan kepentingan generasi akan datang,” ujarnya.
Sebagai rekod, Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia yang meluluskan Rang Undang-Undang Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 selepas ia diluluskan sebulat suara oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 20 November 2023.
Rang undang-undang itu antara lain bertujuan menggalakkan aktiviti penangkapan dan penyimpanan karbon, mengurangkan kesan perubahan iklim serta membuka peluang kepada rakyat Sarawak menyertai projek mitigasi pemanasan global dan memperoleh kredit karbon, sekali gus mewujudkan sumber pendapatan baharu bagi pembangunan ekonomi mampan.






