KUCHING: Kadar keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 bukan penentu mutlak kelebihan sesebuah parti kerana keputusan turut dipengaruhi calon, isu tempatan dan rekod perkhidmatan.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Dr Nur Aida Kipli berkata, perubahan profil dan tingkah laku pengundi juga perlu diambil kira dalam menganalisis kadar keluar mengundi.
“Pengundi tidak semestinya menyokong calon atau parti yang sama seperti pilihan raya sebelumnya, terutama apabila landskap politik turut berubah,” katanya ketika dihubungi.
Perubahan jumlah pengundi berdaftar dan pola kehadiran di setiap kawasan juga penting diteliti bagi mendapatkan gambaran awal mengenai kadar keluar mengundi.
Beliau berkata, kadar keluar mengundi yang tinggi atau rendah tidak boleh dianggap sebagai petunjuk bahawa sesebuah parti mampu mempengaruhi atau memanipulasi tingkah laku pengundi.
Sebaliknya, pengundi turut menilai calon, isu tempatan, manifesto parti, rekod perkhidmatan serta kekuatan persaingan dengan parti lawan.
Dalam pada itu, Dr Nur Aida berkata, persiapan pengundi yang menetap dan bekerja di bandar tetapi berdaftar di kawasan luar bandar atau kampung perlu diberi perhatian menjelang hari pengundian pada 12 Disember ini.
Katanya, perancangan perjalanan pulang perlu mengambil kira jarak, kemudahan pengangkutan dan keadaan cuaca serta jalan raya.
Pengundi yang berada di luar Sarawak, termasuk di Semenanjung Malaysia dan Sabah, juga disaran membuat persiapan awal berdasarkan kemampuan kewangan serta akses pengangkutan.
“Kos pengangkutan berkemungkinan meningkat menjelang hari pengundian, khususnya perjalanan ke kawasan luar bandar yang bergantung kepada perkhidmatan van, bas, bot dan kenderaan persendirian.
“Perancangan awal serta penyampaian maklumat pilihan raya yang tepat penting bagi memastikan pengundi layak berpeluang pulang menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.




