SERIAN: Seramai 74 warga Indonesia, termasuk dua kanak-kanak dipindahkan dari Depot Imigresen Semuja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu bagi urusan penghantaran pulang, Rabu lalu.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak memaklumkan, pemindahan melalui jalan darat pada 4 November itu melibatkan 49 lelaki dan 23 wanita dewasa.
Menurut kenyataannya, operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar mengikut prosedur ditetapkan.
“Pegawai dan anggota Depot Imigresen Semuja turut menguruskan dokumentasi serta mengiringi kumpulan Orang Yang Dipindahkan (OYD) sepanjang operasi,” menurut kenyataan itu.
Kesemua OYD kemudian diserahkan kepada pegawai dan kakitangan teknikal imigresen daripada Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching untuk urusan selanjutnya.
JIM Sarawak mengesahkan keseluruhan operasi berjalan lancar, selamat dan terkawal.
Jabatan itu turut menegaskan komitmennya untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang serta pengurusan imigresen secara profesional dan berintegriti bagi memelihara keselamatan negara.




