MIRI: Interhill Group secara rasmi menyerahkan Interhill Plaza kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) hari ini sebagai sumbangan ruang awam yang dinaik taraf untuk kegunaan masyarakat.
Menurut kenyataan media Interhill Group, penyerahan itu merupakan hadiah sempena ulang tahun ke-20 penubuhan MBM pada tahun lalu.
Majlis penyerahan disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, bersama Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang dan Pengarah Urusan Interhill Group, Albert Hu Yun Chai.
Sumbangan itu turut menyokong usaha memperindah kawasan Miri Waterfront Commercial Centre menerusi penyediaan persekitaran bandar yang lebih hijau, selesa dan mesra masyarakat.
Dr. Sim berkata, pembangunan bandar bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur, malah kesejahteraan serta kualiti hidup penduduk.
Menurutnya, ruang awam, kawasan hijau dan kemudahan rekreasi mudah diakses penting dalam menggalakkan gaya hidup sihat serta interaksi sosial masyarakat.
“Kesihatan awam bukan hanya berkaitan kemudahan penjagaan kesihatan dan perkhidmatan perubatan, tetapi juga mewujudkan persekitaran yang menggalakkan masyarakat aktif secara fizikal, menikmati aktiviti luar dan mengekalkan hubungan sosial.
“Penyerahan Interhill Plaza menjadi contoh pencapaian yang boleh direalisasikan apabila sektor awam dan swasta bekerjasama ke arah matlamat bersama,” katanya.
Beliau turut menggalakkan lebih banyak organisasi swasta bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dan pihak berkuasa tempatan bagi menyokong pembangunan bandar, selaras aspirasi negeri menjelang 2030.




