ARTIKEL

Datuk Abdul Halim Hamzah menyampaikan simbolik sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada Jaed ketika mengadakan lawatan di kediamannya dekat Bandar Baru Samariang. Foto Mohd Alif Noni.

46 Pengamal Media, Veteran Media Terima Bantuan Tabung Kasih@HAWANA

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 46 pengamal media dan veteran media di Sarawak menerima bantuan menerusi Tabung Kasih@HAWANA sejak ia diperkenalkan pada 2023 bagi membantu mereka yang berdepan masalah kesihatan serta kesukaran hidup.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata, daripada jumlah itu, enam penerima di negeri ini menerima bantuan menerusi kerjasama Tabung Kasih@HAWANA bersama Telekom Malaysia (TM).

Beliau berkata di peringkat nasional pula, kerjasama tersebut memberi manfaat kepada 34 penerima sejak 20 Jun lepas.

“Kita juga mendapatkan kerjasama daripada kelab-kelab media negeri untuk membantu menyalurkan maklumat mengenai rakan-rakan media atau veteran media yang diuji dengan masalah kesihatan atau kesukaran hidup supaya bantuan dapat disalurkan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas program penyampaian sumbangan Tabung Kasih@HAWANA di kediaman jurugambar Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Jaed Tepus di sini hari ini.

Nur-ul Afida berkata, setiap penerima lazimnya menerima bantuan sebanyak RM3,000, namun jumlah itu boleh dipertimbangkan mengikut keperluan kes seperti pembedahan dan rawatan tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Tabung Kasih@HAWANA.

Datuk Abdul Halim Hamzah bersama-sama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin menjawab soalan pengamal media selepas mengadakan lawatan ke kediaman Jaed sempena penyerahan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA. Foto Mohd Alif Noni.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, program yang dikendalikan Bernama itu bertujuan menyantuni pengamal media yang masih berkhidmat serta veteran media yang berdepan pelbagai cabaran, khususnya masalah kesihatan.

Beliau berkata kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan pengamal media dan akan terus memberi perhatian bagi memastikan golongan itu terus mendapat sokongan sewajarnya.

Penerima bantuan Jaed Tepus pula merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi, Bernama dan TM atas sumbangan yang diterimanya.

Beliau berkata bantuan itu amat bermakna buat dirinya dan keluarga serta berharap inisiatif seperti Tabung Kasih@HAWANA dapat diteruskan bagi membantu lebih ramai pengamal media yang memerlukan.

Jaed, 60, menghidap ketumbuhan pada usus sejak Februari lalu telah mula berkhidmat di UKAS pada 2023.

Beliau juga pernah berkhidmat di Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak dari 2012 hingga 2023, serta di Filem Negara Malaysia dari tahun 1993 hingga 2012.

Tabung Kasih@HAWANA X TM merupakan inisiatif di bawah Tabung Kasih@HAWANA
yang diwujudkan menerusi sumbangan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR)
TM bagi memperluas bantuan kepada pengamal media yang memerlukan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU