KUCHING: Seramai 4,693 pelajar layak melanjutkan pengajian di bawah Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) Sarawak di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri mulai tahun 2026.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bagi tahun pertama pelaksanaannya, kerajaan menawarkan sebanyak 64 kursus dalam bidang strategik selaras dengan keperluan ekonomi baharu. Kos pengajian sepenuhnya ditanggung oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Untuk tahun pertama ini, kami menawarkan 64 kursus termasuk robotik, keselamatan siber, kewangan dan perakaunan, undang-undang dan perubatan.
“Pada tahun 2027, saya pasti jumlahnya akan meningkat dan tahun 2028 juga akan meningkat… saya boleh memberi jaminan bahawa Kerajaan Sarawak akan terus meneroka sumber pendapatan tambahan demi anda,” katanya ketika merasmikan pelancaran FTES di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Menjelaskan lanjut, Abang Johari berkata pelajar yang lulus peperiksaan diiktiraf dan layak memasuki universiti di Sarawak, dengan syarat wajib lulus Bahasa Malaysia, berpeluang menikmati kemudahan pendidikan percuma itu. Pemegang Sijil Vokasional Malaysia (SVM) juga layak.
Malah, katanya Kerajaan Sarawak turut mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), dengan syarat calon memiliki kelulusan Bahasa Malaysia.
“Anak-anak Sarawak, inilah masa anda. Dahulu kita tidak mempunyai peluang ini, kita perlu bersaing untuk biasiswa. Saya sendiri berhutang budi kepada Yayasan Sarawak tetapi hari ini, kerajaan bersama anda.
“Ibu bapa anda tidak perlu risau, kerajaan telah mengambil tanggungjawab itu… anda bukan sahaja anak kepada ibu bapa anda, tetapi juga anak Sarawak,” katanya.
Abang Johari menambah tiada had atau kuota ditetapkan selagi pelajar memenuhi syarat kelayakan dan mengikuti kursus yang ditawarkan.
Beliau turut menegaskan inisiatif bersejarah itu bukan bersifat sementara malah akan diteruskan pada tahun-tahun berikutnya.
Katanya, visi jangka panjang kerajaan adalah menjadikan Sarawak sebagai ‘bintang ASEAN’ dan berpengaruh di peringkat serantau.
“Generasi muda hari ini memanggilnya ‘influencer’, biarlah Sarawak menjadi ‘influencer’ di rantau ini,” ujarnya.

