SERIAN: Sebanyak 48 kumpulan dari pelbagai kampung di sini berentap dalam sukan bola sepak untuk meraih gelaran johan dalam Piala Cabaran Ampungan 2024 (16 tahun ke atas).
Program anjuran Jawatankuasa Kebudayaan Belia Sukan dan Rekreasi Kampung
Ampungan dengan kerjasama Ampungan Football Club (AFC) berlangsung sejak 18 Feb (Ahad) sehingga pusingan akhir pada 19 Mei.
Menurut Ketua Kampung (KK) Kampung Ampungan Johannes Chanui, program ini diadakan bertujuan untuk memupuk gaya hidup yang sihat dalam kalangan belia dengan mengamalkan aktiviti riadah dan rekreasi.

“Tidak dinafikan ada dalam kalangan remaja pada zaman ini terjebak dalam pelbagai aktiviti yang kurang sihat termasuk merokok, pengambilan dadah dan sebagainya.
“Maka, inisiatif ini mampu untuk mengajak belia untuk bersama-sama menyertai program yang mampu memupuk nilai positif demi generasi yang lebih baik pada masa akan datang.
“Selain, dapat memupuk semangat bersaing secara sihat sekali gus mengukuhkan hubungan silaturahim yang lebih kuat antara satu sama lain,” katanya pada Suara Sarawak.
Sehubungan itu katanya, usaha ini bertujuan untuk menghimpunkan para belia serta memupuk minat anak-anak untuk terlibat dalam sukan bola sepak.
“Maka, saya puji langkah belia di kampung ini kerana melaksanakan program seumpama ini untuk mengasah potensi masing-masing, selain mengamalkan gaya hidup yang sihat,” ringkasnya.



