5 mesyuarat politik diadakan serentak hari ini

KUALA LUMPUR: Beberapa mesyuarat melibatkan parti-parti politik daripada pihak kerajaan dan pembangkang berlangsung hari ini  sejak awal pagi ditengah-tengah desas-desus berhubung kemungkinan pengaturan semula landskap politik negara.

Semua mesyuarat itu telah menarik perhatian media tetapi perbincangan diadakan secara tertutup.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengadakan mesyuarat khas di ibu pejabat parti di Menara Yayasan Selangor di Petaling Jaya.

Ia dipengerusikan oleh Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad  yang enggan mengulas semasa perdana menteri berusia 94 tahun itu diserbu pemberita semasa beliau meninggalkan premis itu.

Menyertai Dr Mahathir pada mesyuarat itu ialah Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; Setiausaha Agung Datuk Marzuki Yahya; dan Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa pemimpin PKR yang dikatakan penyokongnya mengadakan perbincangan di sebuah hotel  di Petaling Jaya.

UMNO, sementara itu, mengadakan mesyuarat majlis tertinggi khas di ibu pejabat parti pembangkang itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Difahamkan beberapa Ahli Parlimen (MP) daripada parti-parti politik di Sarawak turut berada di ibu negara untuk bermesyuarat di sebuah hotel di sini.

Presiden Parti Warisan Sabah yang juga Ketua Menteri Sabah  Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga dilihat memasuki lif di hotel itu, bersama-sama dengan beberapa lagi individu.

Tidak diketahui sama ada pemimpin Sabah berkenaan menyertai pemimpin daripada Sarawak pada mesyuarat mereka.

Suasana di Istana Negara juga sibuk dengan banyak kenderaan dilihat memasuki istana petang ini, sesetengahnya diiringi polis pengiring.

Suara Sarawak