ARTIKEL

ANTARA lauk yang dijual.

50 lauk RM10.90

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HAD lalu, ketika dalam perjalanan menghantar anak dan anak saudara ke kolej di Kota Samarahan, kami singgah di sebuah kedai di Batu 7, jalan menghala ke Kota Sentosa di Bahagian Kuching.

Kami singgah makan tengah hari di sebuah kedai yang agak tersembunyi di belakang kawasan Public Bank di sana.

Dari luar sudah kelihatan ramai pelanggan. Saya melangkah masuk.

Saya melalui hidangan diletak di dalam kuali besar, makanan masih berasap.

Itu sesuai dengan selera saya kerana makanannya masih panas dan segar.

Saya hitung ada 50 menu.

Makanan diletak di atas meja yang dihias lampu neon.

Di hujung periuk besar menempatkan sup tulang.

Jumlah makanannya 50 hidangan — ayam, ikan, daging, ayam pansuh, ulam-ulaman, umai ikan termasuk pelbagai sayur dengan konsep — ambil semua bayar RM10.90!Untuk semua hidangan jika kita mengambil 51 lauk, harga setiap menu cuma 22 sen.

Saya bayangkan kedai dibuka di kawasan pejabat kami di MetroCity Matang di Kuching.

Saya yakin ia juga akan mendapat sambutan kerana di kawasan pejabat kami, agak payah mendapatkan menu tengah hari yang lauknya kekampungan.

Jika ada pun, ia diselit di antara menu nasi kandar.

Ia menjadikan kedai ini luar biasa kerana menunya sangat banyak dan panas.

Nasi campur sepinggan RM10.90 dengan hampir 50 jenis lauk, termasuk sup tulang yang mendidih di dalam kuali besar.

Pada era harga barang semakin menggigit dompet, kedai begini terasa seperti rahmat. Pelanggan tidak berhenti keluar masuk.

Ada pekerja bengkel, ada pemandu e-panggilan, ada ibu membawa anak kecil malah warga emas juga datang.

Saya percaya kerana menunya sesuai selera warga emas seperti ikan goreng, sayur labu masak rebus manis dan ulam-ulaman.

Juga didatangi pelbagai latar belakang kerana ada menu ayam pansuh dan sayur daun ubi garing.

Ada ikan masin, ada sambal belacan ada sup tulang — bukankah semua menunya ada kombinasi selera pelbagai peringkat usia?Saya sendiri mengambil lauk sayur, ikan cencaru goreng dan ulam-ulaman dan ia cukup mengenyangkan kerana nasi dan sayurnya kekal panas.

Saya berasakan semua berkongsi tujuan yang sama, mahu makan kenyang tanpa perlu berkira setiap sen.

Lima puluh lauk.

Angka itu sendiri sudah cukup membuat orang berhenti seketika. Di meja panjang hidangan, warnanya seperti pesta merahnya udang sos, hijau pucuk paku goreng dan ulam, kuning kari ikan, gelap ayam kicap dan di penjuru paling hujung kuali besar sup tulang yang aromanya saja sudah cukup membuat pengunjung menambah nasi.

Dalam keadaan banyak kedai menaikkan harga, pemilik kedai ini memilih untuk kekal dengan harga mampu milik.

Menariknya, pelanggan yang datang bukan sahaja mahu makan di kedai tetapi makan makanan sederhana yang mengingatkan kepada masakan rumah. Itu yang penting. Makan seperti makanan di rumah.

Saya rasa sesekali pemilik boleh masukkan menu sardin di dalam tin. Mungkin boleh dimasukkan sekali dalam sebulan kerana menu ini tetap menjadi menu makanan di rumah yang sangat nostalgia.Saya juga anggap nasi campur harga RM10.90 ini mencabar persepsi makanan berkualiti, mesti mahal.

Di sini, setiap orang bebas memilih lauk tanpa rasa takut harga akan terbang. Seorang yang dengan selera normal mampu makan tiga lauk di dalam satu pinggan. Ada yang mengambil seketul ayam, dua jenis sayur, sedikit sambal belacan masih RM10.90.

Di sebelah meja kami, ada bapa dan seorang anak dewasa mengambil makanan penuh pinggan dengan ikan masin, sayur campur, ayam pansuh, ayam mentega, ikan goreng juga.

Mereka seperti bapa yang berselera makan ditemani anaknya di dalam rumah.Sup tulang di dalam kuali besar pula menjadi pelakon utama. Semua pelanggan berbaris untuk mengambilnya. Supnya panas, daging lembut. Setiap kali tudung kuali dibuka, wap panas naik bersama bau rempahnya yang menarik selera.

Namun, dalam kehangatan suasana kedai itu, saya terfikir, apakah kedai seperti ini dapat bertahan? Harga bahan mentah terus naik seperti bawang, ayam, ikan, minyak masak, sayur, semuanya menekan peniaga kecil. Tetapi pemilik kedai pada pandangan saya kekal dengan prinsip membantu orang ramai makan kenyang tanpa membebankan.

Kedai nasi campur ini sebenarnya memegang satu peranan sosial yang lebih besar daripada yang disangka. Ia menjadi tempat singgah untuk pekerja yang gaji hariannya kecil, tempat rehat kepada ibu bapa yang tidak sempat memasak, tempat pelajar mengisi perut ketika wang saku sudah tinggal sedikit.

Dan semua itu berlaku tanpa memandang siapa yang datang.Saya juga tertanya-tanya, mengapa pemilik kedai seperti ini tiada keluar televisyen, di dada akhbar? Dan, lebih memilih hotel yang memperkenalkan menu baharu? Saya bertanya kepada diri saya sendiri dan telah menyatakan kepada beberapa wartawan kami. Kisahnya perlu dipapar di dada akhbar kerana peranannya nyata dan terasa.

Akhirnya, ketika membayar makanan kami, saya sedar saya bukan hanya membeli makanan. Saya sedang menyokong seorang yang berjiwa besar yang membawa kebaikan kepada ramai orang.

Kita harus menghargai kedai seperti ini, tempat yang tidak menawar kemewahan, tetapi menawarkan keikhlasan.Dan keikhlasan itu seperti sup tulang di dalam kuali besar yang sentiasa mendidih dan sentiasa cukup untuk mengenyangkan pelanggannya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU