BINTULU: Lebih 500 penduduk dari enam rumah panjang di Bintulu kini menikmati bekalan air bersih dan selamat menerusi Projek Air Hope Care – Basis of Life.
Projek bernilai RM365,011 ini, yang bermula pada November 2023 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Mei 2024, dilaksanakan oleh Kelab Rotary Bintulu Central (RCBC) dengan tajaan daripada LDS Charities.

Inisiatif ini bukan sahaja menyediakan bekalan air, tetapi juga membuka lembaran baharu bagi pembangunan komuniti luar bandar.
Presiden RCBC, Allen Wong Ching Seng, berkata projek ini melibatkan pemasangan sistem aliran graviti dan sistem takungan air hujan, yang menyediakan penyelesaian bekalan air yang lestari kepada komuniti di Rumah Semanggat, Rumah Gelayan, Rumah Jan, Rumah Enjan, Rumah Tait, dan Rumah Menggat.
“Lebih membanggakan, penduduk sendiri terlibat melalui gotong-royong yang memupuk rasa tanggungjawab terhadap sistem ini,” katanya dalam majlis ringkas penyerahan projek tersebut yang diadakan di Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu baru-baru ini.
Projek ini turut mendapat kerjasama padu daripada pasukan Unit Bekalan Air dan Sanitasi Alam Sekitar (Bakas) yang diketuai oleh Dr. Melvin Chung Hsien Liang, Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu.
Sementara itu, Dr. Melvin menegaskan bahawa akses kepada air bersih adalah hak asas setiap individu dan merupakan salah satu daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Sebagai pakar kesihatan awam, saya percaya kebajikan bermula di tempat sendiri.
Bagi saya, Bintulu adalah rumah. Kita perlu mengutamakan komuniti di sini untuk memastikan mereka mendapat akses kepada air bersih dan sanitasi yang betul,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa meskipun PKB Bintulu menerima peruntukan tahunan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk projek bekalan air luar bandar, jumlah projek yang dapat dilaksanakan adalah terhad berbanding senarai menunggu.
“Matlamat kami bukan sahaja mempercepatkan projek ini, tetapi juga menambah nilai dengan memastikan komuniti luar bandar mendapat akses kepada air yang ditapis dan bersih,” tambahnya.
Penyelenggaraan sistem ini akan diselia oleh jawatankuasa rumah panjang masing-masing dengan sokongan berkala daripada Bakas untuk pemeriksaan kualiti air bagi memastikan keselamatan dan fungsi sistem tersebut.





