MIRI: Seramai 52 orang pelajar dari program Diploma Pengurusan Pertanian dan Diploma Pentadbiran Perniagaan semester lima dan enam di i-CATS melakar kejayaan menerusi Program Kami Cakna yang berlangsung di Miri Home for The Aged baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan, i-CATS Miri berkata, program yang diadakan itu merupakan sebuah inisiatif khidmat masyarakat para pelajar berkenaan bagi memenuhi syarat kelulusan kursus MPU2252 dengan mengadakan aktiviti gotong-royong di rumah kebajikan warga emas berkenaan.

“Aktiviti gotong-royong yang diadakan meliputi kerja-kerja seperti mengecat kerusi, membaik pulih ampaian, membersihkan pelindung matahari aluminium, memasang jaring tingkap serta membersihkan saluran air hujan di bumbung.
“Program ini bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan kursus tetapi juga sebagai platform untuk memberikan pengetahuan dan pendedahan kepada para pelajar mengenai pentingnya sifat kebajikan dan keprihatinan sosial,” jelasnya.
Menurut i-CATS Miri juga, elemen kemahiran berkomunikasi, semangat berpasukan dan pemikiran kritis turut disemai sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.
Jelasnya, pendekatan interaktif sedemikian membolehkan pelajar memahami betapa pentingnya peranan mereka dalam menyumbang kepada masyarakat, di samping mengasah kemahiran kepimpinan dan membina keperibadian yang lebih prihatin.
Miri Home for The Aged merupakan sebuah rumah Kebajikan warga emas di Miri yang telah dibuka sejak 12 Julai 1975, dan ia dihuni oleh 25 warga emas yang terdiri daripada 14 wanita dan 11 lelaki.



