ARTIKEL

53,000 pemandu teksi, kereta sewa terima bantuan RM1,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Seramai 53,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di seluruh negara bakal menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,000 seorang, menerusi hasil jualan nombor pendaftaran khas siri ‘H’ yang menjana RM91.2 juta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bantuan secara sekali bayar itu diumumkan Perdana Menteri pada 9 Oktober lalu sebagai salah satu inisiatif Belanjawan 2027.

Menurutnya, hasil jualan nombor pendaftaran khas berkenaan disalurkan semula kepada golongan terbabit bagi memastikan pendapatan yang dijana dapat memberikan manfaat langsung kepada rakyat.

Michael Kong bersama tetamu kehormat lain merakam gambar kenangan bersama penerima bantuan.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Michael Kong Feng Nian pada Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah Sarawak di Auditorium Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Kampus Wilayah Sarawak, di sini, hari ini.

Loke berkata, bantuan itu melibatkan kira-kira 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara bagi membantu mereka menghadapi peningkatan kos sara hidup, harga alat ganti dan persaingan dalam industri pengangkutan.

Di Sarawak, kira-kira 271 pemandu menerima bantuan secara tunai pada majlis berkenaan melalui wakil penerima, manakala penerima lain yang layak akan menerima bayaran menerusi pemindahan dana elektronik (EFT) ke akaun bank masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), LPKP Sabah dan LPKP Sarawak sedang menyelaras proses penyaluran bantuan serta pengesahan maklumat penerima bagi memastikan pelaksanaannya berjalan secara telus dan adil.

Bagi pemandu teksi dan kereta sewa, antara syarat kelayakan ialah memiliki Kad Pemandu yang aktif dan/atau Lesen atau Permit Kenderaan (VP) teksi yang masih berkuat kuasa, selain Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang sah.

Setiap pemandu hanya layak menerima bantuan itu sekali sahaja, manakala syarat tambahan, jika perlu, akan ditentukan APAD dan LPKP berkaitan.

Sehubungan itu, pemandu serta syarikat pengendali bas sekolah diminta mengikuti pengumuman rasmi APAD, LPKP Sabah dan LPKP Sarawak berhubung syarat kelayakan serta pengisian maklumat bagi memastikan proses pembayaran berjalan lancar.

Loke mengakui bantuan RM1,000 itu mungkin tidak dapat menyelesaikan semua masalah, namun bantuan berkenaan dapat meringankan perbelanjaan harian pemandu.

Beliau turut menegaskan Kementerian Pengangkutan akan terus berusaha memastikan industri teksi dan kereta sewa tempatan tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi, selain menjaga kebajikan serta pendapatan pemandu untuk jangka panjang.

BERITA LAIN

FORUM sasar bina kolej pendidikan di Miri

MIRI: Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) merancang menubuhkan sebuah kolej pendidikan di Miri bagi membuka laluan alternatif kepada anak-anak Orang Ulu yang gagal

BERITA TERBARU

FORUM sasar bina kolej pendidikan di Miri

MIRI: Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) merancang menubuhkan sebuah kolej pendidikan di Miri bagi membuka laluan alternatif kepada anak-anak Orang Ulu yang gagal