MIRI: Hampir 100 peratus rumah panjang dan kampung di lapan kawasan pedalaman yang didiami masyarakat Orang Ulu kini menikmati bekalan elektrik 24 jam sehari.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, pencapaian tersebut mencerminkan kemajuan kerajaan dalam menyediakan kemudahan asas kepada masyarakat luar bandar.
“Hari ini, hampir 100 peratus rumah panjang dan kampung di Ulu Baram, Ulu Limbang, Ulu Lawas, Ulu Trusan, Ulu Kemena, Ulu Rejang, Murum dan Belaga telah menikmati bekalan elektrik 24 jam.

“Perkhidmatan telefon dan liputan internet di kawasan pedalaman tersebut pula telah mencapai hampir 80 peratus,” katanya.
Beliau yang juga penyandang DUN Mulu berkata demikian semasa Majlis Perasmian Rumah Kebudayaan Orang Ulu yang disempurnakan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Padang Kerbau, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pembangunan kawasan pedalaman terus diperkukuh menerusi penubuhan tiga agensi pembangunan wilayah yang menerima peruntukan keseluruhan RM4.5 bilion daripada Kerajaan Sarawak.
Katanya, Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) masing-masing menerima peruntukan RM1.5 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur dan kemudahan asas.
“Peruntukan tersebut digunakan untuk meningkatkan jaringan jalan raya, menyediakan bekalan air bersih serta memperluas kemudahan asas yang diperlukan penduduk pedalaman,” jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, banyak bekas jalan balak yang menghubungkan rumah panjang di kawasan pedalaman turut dinaik taraf bagi memudahkan pergerakan penduduk dan memperluas kegiatan ekonomi.
“Antara projek utama ialah pembinaan jalan Miri–Marudi–Long Panai–Kuala Malinau serta Long Panai–Long Lama yang melibatkan kos hampir RM4 bilion.
“Projek Jalan Penghubung Sarawak–Sabah Fasa Dua (SSLR2) dari Limbang ke Kuala Malinau yang sedang dibina juga akan dihubungkan dengan rangkaian jalan berkenaan,” ujarnya.
Tambahnya, pembangunan itu dijangka mengubah landskap sosioekonomi kawasan Apoh Tutoh, selain membuka akses yang lebih baik kepada pusat perkhidmatan, pasaran dan peluang ekonomi.
“Kita tidak mahu masyarakat Orang Ulu hanya dikenali kerana keunikan budaya dan warisan tradisinya.
“Kita juga mahu masyarakat Orang Ulu terus maju, menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik, mempunyai peluang ekonomi yang lebih luas serta menjadi sebahagian daripada kemajuan dan kemakmuran Sarawak,” katanya.





