ARTIKEL

Premier menandatangani plak sempena perasmian Rumah Kebudayaan Orang Ulu di Miri, hari ini.

FORUM sasar bina kolej pendidikan di Miri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) merancang menubuhkan sebuah kolej pendidikan di Miri bagi membuka laluan alternatif kepada anak-anak Orang Ulu yang gagal mendapat tempat di universiti melalui kemasukan secara langsung.

Timbalan Presiden FORUM, Datuk Dennis Ngau, berkata kolej yang dicadangkan itu akan berfungsi sebagai institusi persediaan sebelum pelajar melanjutkan pengajian ke universiti atau memasuki alam pekerjaan.

Menurutnya, FORUM sudah menjalankan kajian awal dan mengenal pasti sebuah kolej sedia ada di Miri yang berpotensi dipertimbangkan bagi merealisasikan rancangan berkenaan.

“Impian kita yang seterusnya ialah menubuhkan sebuah institusi kolej pendidikan di bawah FORUM yang berfungsi sebagai laluan persediaan kepada universiti.

“Melalui kolej ini, mereka berpeluang melanjutkan pengajian, meningkatkan kelayakan akademik dan mempersiapkan diri sebelum melangkah ke universiti atau alam pekerjaan.

“Kita berharap usaha ini dapat diteruskan secara serius dengan sokongan pihak-pihak berkaitan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan berkata demikian semasa Majlis Perasmian Rumah Kebudayaan Orang Ulu (FORUM) yang disempurnakan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Padang Kerbau, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata penubuhan kolej itu antara usaha jangka panjang persatuan untuk memperluas akses pendidikan, khususnya kepada generasi muda di kawasan pedalaman.

“Pendidikan bukan sekadar memperoleh sijil atau ijazah, sebaliknya memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran, membina keyakinan diri dan melahirkan pemimpin masa depan.

“Kita tidak mahu anak-anak hanya menjadi penonton kepada pembangunan negeri. Kita mahu mereka menjadi sebahagian daripada tenaga profesional, tenaga mahir dan pemimpin yang menerajui pembangunan Sarawak,” tegasnya.

Beliau berkata, cadangan penubuhan kolej itu juga menjadi kesinambungan kepada usaha FORUM memelihara identiti dan membangunkan masyarakat menerusi pembinaan Rumah Kebudayaan Orang Ulu.

“Rumah Kebudayaan ini kita bina untuk memelihara warisan generasi terdahulu, manakala kolej pendidikan yang kita impikan adalah untuk membina masa depan generasi akan datang.

“Malah, bangunan yang mempunyai reka bentuk seni bina dan ukiran tradisional Orang Ulu ini kini menjadi mercu tanda baharu di kawasan Padang Kerbau,” jelasnya.

Katanya, FORUM turut merancang menjadikan pusat itu sebagai destinasi pelancongan dengan memperkenalkan makanan tradisional, persembahan kebudayaan, galeri sejarah, jualan kraftangan dan alat muzik sape.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin; Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sri John Sikie Tayai; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala; Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Liwan Lagang; serta Presiden FORUM merangkap Presiden Persatuan Tipun Penan, Datuk Nyurak Keti.

BERITA LAIN

Sebangkoi diwartakan Rizab Alam Semula Jadi

SARIKEI: Taman Rekreasi Sebangkoi menerima nafas baharu apabila kawasan itu bakal diwartakan sebagai Rizab Alam Semula Jadi oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dalam masa terdekat.

BERITA TERBARU