KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu memastikan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13 bagi dijadikan hadiah paling bermakna kepada Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai tanda penghargaan atas segala bakti dan usaha beliau membangunkan negeri serta menjaga kebajikan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kemenangan besar itu ialah cara terbaik untuk menghargai komitmen Abang Johari yang bekerja keras bagi memastikan Sarawak terus maju dan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

Menurutnya, usaha Premier Sarawak sepanjang lima tahun lalu merangkumi menarik pelaburan luar negara, meneroka sumber pendapatan baharu, membangunkan infrastruktur serta menyediakan pelbagai bantuan untuk rakyat.
“Abang Johari sudah bekerja keras selama lima tahun ini, pergi ke luar negara dan dalam negeri untuk memastikan kita mempunyai sumber kewangan mencukupi, melaksanakan projek jalan raya serta menyediakan bantuan kepada rakyat.

“Jadi, sebagai tanda penghargaan, kita kena pastikan kemenangan besar pada PRU Sarawak Ke-13 ini.
Itulah hadiah paling berharga untuk beliau sebagai tanda terima kasih atas segala baktinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sarawak Kita Empun (SKE) 3.0 Zon Kuching di Pusat Konvensyen Penview (PCC), Demak, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Program SKE 3.0 merangkap Timbalan Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, serta barisan kepimpinan tertinggi GPS lain.
Dalam pada itu, Fadillah menegaskan bahawa GPS perlu menyasarkan kemenangan pada kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk 47 kerusi yang ditandingi PBB, bagi memastikan gabungan itu terus mempunyai kekuatan politik untuk menentukan hala tuju pembangunan Sarawak.
“Pilihan raya ini, kita bukan sahaja mahu menang, tetapi mahu menang dengan bergaya.
“Sasaran kita ialah 82 daripada 82 kerusi. Mungkin sukar tetapi bukan mustahil jika kita bekerja sebagai satu pasukan bersama rakan komponen parti,” tegas Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya itu.
Selain itu, beliau memberitahu bahawa kekuatan politik GPS penting bagi memastikan Sarawak terus berupaya menentukan agenda pembangunannya sendiri, selain mengekalkan kestabilan politik dan keyakinan pelabur terhadap negeri ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh jentera parti, khususnya Pergerakan Wanita PBB, supaya memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi dan memastikan pencapaian serta inisiatif kerajaan dapat disampaikan dengan berkesan kepada rakyat menjelang PRU Sarawak ke-13.






