PUTRAJAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memperkukuh persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 menerusi perancangan awal dan penyelarasan sumber.
Persediaan itu dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan risiko banjir diurus secara berkesan, sementara monsun tersebut bermula 27 Okt dan dijangka tamat pada Mac 2027.
Sepanjang MTL 2025/2026, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) mengeluarkan 103 buletin hebahan, manakala 14.8 juta SMS dihantar kepada penduduk di kawasan berisiko.
Secara keseluruhan, 799 kejadian banjir direkodkan di seluruh negara, termasuk 480 banjir monsun, 274 banjir kilat, 25 banjir genang dan 20 banjir pantai seperti dilapor Bernama.
Bagi musim kali ini, JPS memantau 36 lembangan sungai secara berterusan, mengenal pasti 3,045 lokasi hotspot banjir dan memperuntukkan RM3.2 bilion untuk 342 projek di bawah RP1 RMK13.






