KUCHING: Seramai 58 individu kurang upaya (OKU) di Sarawak Selatan bakal menerima bantuan kaki palsu percuma menerusi program kebajikan anjuran Gabungan Persatuan Kebajikan Moral Malaysia Timur dan Labuan yang memasuki fasa akhir pelaksanaan bulan ini.
Daripada jumlah itu, 37 penerima berasal dari Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, manakala 21 lagi dari Bahagian Sri Aman dan Betong.
Tiga daripada 37 penerima di Kuching, Samarahan dan Serian kehilangan kedua-dua belah kaki, sekali gus menjadikan jumlah kaki palsu yang disediakan bagi kawasan berkenaan sebanyak 40 unit.

Program berkenaan akan diteruskan dengan sesi pengujian dan pelarasan kaki palsu pada 12 dan 13 November ini sebelum majlis penyerahan kepada penerima diadakan pada 14 dan 15 November.
Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian dijadual menyempurnakan kedua-dua majlis penyerahan tersebut.
Sehubungan itu, Yayasan Sosial Moral Sejati Surya Gamilang Jakarta bersama pasukan teknikal kaki palsu dari Jakarta, Indonesia akan tiba di Kuching pada 11 November ini bagi menjalankan pengujian terhadap kaki palsu yang telah disiapkan.
Sebelum ini, proses pengukuran kaki dan penghasilan acuan telah dilaksanakan di Kuching, Samarahan, Serian dan Sri Aman pada 27 September serta 4 dan 10 hingga 11 Oktober lalu.
Pelaksanaan program di Sarawak Selatan diterajui dua persatuan utama, iaitu Che Hui Khor yang bertanggungjawab bagi Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, serta Che Chuan Khor bagi Bahagian Sri Aman dan Betong.
Turut terlibat ialah tujuh persatuan lain, iaitu Che Qian Khor Batu Kawa, Che Hoe Khor Siburan, Che Mao Khor Bau, Che Wu Khor Jambusan, Ji Le Shan She Lundu, Che Zhong Khor Betong dan Ji Yuan Shan She Saratok.
Majlis penyerahan kaki palsu bagi Bahagian Sri Aman dan Betong dijadual berlangsung di Che Chuan Khor, Sri Aman pada 14 November.
Majlis bagi Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian pula akan diadakan di Dewan Chai Tze Khin, SJK Chung Hua No. 2, Kuching pada 15 November, jam 9.30 pagi.
Sesi pelarasan kaki palsu pula akan diadakan pada 12 November di Shiang Fatt T’ng Benevolent Society Sarawak, Stutong, Kuching, dan 13 November di Che Chuan Khor, Sri Aman, masing-masing bermula jam 9 pagi.
Sementara itu, program pemasangan kaki palsu percuma bagi Sarawak Tengah akan dilancarkan pada 8 November ini, bermula jam 9 pagi di Hotel Li Hua @ Pulau Li Hua.
Program itu diterajui Che Kim Khor Sibu dengan kerjasama lima persatuan, iaitu Che Sea Khor Sarikei, Che Muk Khor Mukah, Che Quan Khor Kapit, Che Jin Khor Bintangor dan Che Tan Khor Kanowit.
Inisiatif berkenaan akan menyediakan khidmat pengukuran kaki kepada pemohon OKU dari Bahagian Sibu, Sarikei, Mukah dan Kapit.
Justeru, individu yang memerlukan bantuan itu diminta membawa kad pengenalan berserta salinan dan laporan perubatan berkaitan bagi melengkapkan borang permohonan serta menjalani proses pengukuran oleh wakil Che Kim Khor Sibu.






