ARTIKEL

Timbalan Presiden PBBS, Mohd. Rafi Sikh Ali Yusof.

Sarikei B-16 kekal tanpa kalah, hanya lepaskan dua gol

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARIKEI: Persatuan Bola Sepak Bahagian Sarikei (PBBS) terus mencatat perkembangan positif dalam pembangunan bola sepak akar umbi apabila dua pasukan daripada badan induk itu, iaitu Bawah 14 Tahun (B-14) dan Bawah 16 Tahun (B-16), berjaya mengesahkan kelayakan secara merit ke peringkat Grand Final Petronas Youth Football Closed Tournament (PYFCT) 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Disember depan.

Kejayaan itu satu pencapaian membanggakan buat PBBS, sekali gus memperlihatkan hasil usaha pembangunan pemain muda yang dilaksanakan secara berterusan.

Pasukan Bawah 16 Tahun Sarikei mempamerkan prestasi cemerlang apabila dinobatkan sebagai juara selepas mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang saingan, dengan hanya melepaskan dua gol.

Sementara itu, pasukan Bawah 14 Tahun Sarikei turut menampilkan kemampuan memberangsangkan apabila mencatat kemenangan 4-0 ke atas SMK Mukah dalam perlawanan terakhir mereka.

HEBAT: Pemain pasukan Sarikei Bawah 14 Tahun.

Keputusan itu meletakkan pasukan berkenaan mengungguli tangga teratas liga buat sementara waktu, tertakluk kepada keputusan baki dua perlawanan Mukah United.

Timbalan Presiden PBBS, Mohd. Rafi Sikh Ali Yusof menyifatkan kejayaan kedua-dua pasukan sebagai perkembangan yang positif terhadap hala tuju pembangunan bola sepak remaja khususnya di Bahagian Sarikei.

“Pencapaian ini bukan sekadar kejayaan dalam pertandingan, tetapi hasil komitmen, kesungguhan dan kerjasama pelbagai pihak yang sentiasa memberikan sokongan terhadap pembangunan bola sepak di Bahagian Sarikei.

“Kejayaan kedua-dua pasukan ini melayakkan diri ke Grand Final secara merit membuktikan bahawa pemain muda kita mempunyai potensi besar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi sekiranya diberikan peluang, bimbingan dan platform pertandingan yang berterusan selepas ini,” katanya.

Menurut beliau, PBBS akan terus memberikan perhatian terhadap pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi melalui kerjasama dengan pihak sekolah, kelab bola sepak, jurulatih serta pihak berkepentingan bagi memastikan lebih ramai bakat muda dapat dikenal pasti dan dibangunkan secara sistematik.

JUARA: Pemain pasukan Sarikei Bawah 16 Tahun.

Mohd. Rafi mengakui, amanah yang diberikan oleh pucuk pimpinan PBBS untuk mengurus dan memastikan penyertaan kedua-dua pasukan berjalan dengan baik bukanlah tugas yang mudah tanpa komitmen luar biasa daripada barisan pengurusan dan kejurulatihan.

“Amanah yang diberikan oleh pucuk pimpinan PBBS ini sememangnya sukar untuk direalisasikan tanpa kerjasama erat daripada pengurus pasukan dan barisan jurulatih yang tidak mengenal erti penat lelah.

“Mereka telah memulakan persiapan sejak beberapa bulan lalu, mengorbankan masa, tenaga dan komitmen peribadi demi memastikan pemain berada pada tahap terbaik untuk menghadapi pertandingan,” tambah beliau.

Katanya, segala usaha dan pengorbanan mereka tetap dihargai, manakala kejayaan yang dicapai hari ini hasil kerja berpasukan dan bukan usaha mana-mana individu semata-mata.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan pegawai pasukan, ibu bapa, pihak sekolah, kelab-kelab bola sepak, penaja serta semua pihak yang menyumbang tenaga, masa dan sumber kewangan sepanjang penyertaan kedua-dua pasukan terbabit.

Dalam masa yang sama, beliau menzahirkan penghargaan khusus kepada para pemimpin yang sentiasa memberikan sokongan serta sumbangan kewangan kepada PBBS sepanjang tahun 2026, terutamanya Datuk Haji Len Talif Salleh, Dato Sri Huang Tiong Sii, Dato Ir. Haji Yusof Abdul Wahab dan Datuk Abdullah Saidol.

“Sokongan berterusan daripada pemimpin tempatan dan semua pihak amat bermakna kepada PBBS, khususnya dalam memastikan program pembangunan bola sepak dapat dilaksanakan secara konsisten.

“Kita berharap kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada lebih ramai pemain muda di seluruh Bahagian Sarikei untuk melibatkan diri secara aktif dalam sukan bola sepak,” katanya.

Mengulas persiapan menghadapi Grand Final pada Disember nanti, Mohd. Rafi berkata, kejayaan melayakkan diri ke peringkat tersebut perlu dijadikan motivasi kepada pemain kedua-dua pasukan untuk terus meningkatkan prestasi, disiplin dan semangat berpasukan.

“PBBS berharap kedua-dua pasukan dapat meneruskan momentum positif dan memberikan saingan terbaik pada peringkat Grand Final nanti.

“Lebih penting, kejayaan ini diharapkan menjadi asas kepada pembangunan bola sepak di Bahagian Sarikei yang lebih tersusun, kompetitif dan berdaya saing pada masa hadapan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU