ARTIKEL

JAWAB SOALAN… Saifullizan menjawab soalan pemberita selepas Majlis Perasmian Gelanggang Futsal PDRM Sarawak yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini. Foto: LEVRONE AIGLE.

Saifullizan Ishak dilantik Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Deputi Komisioner Polis (DCP) Saifullizan Ishak kini menggalas tanggungjawab sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu dengan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

Pelantikan itu menyaksikan beliau, yang sebelum ini menjadi pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, diberi kepercayaan menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen negeri ini.

Menyifatkan pelantikan tersebut sebagai amanah besar, Saifullizan merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan PDRM dan kepimpinan Kerajaan Sarawak atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pucuk pimpinan PDRM dan kepimpinan Kerajaan Sarawak atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memikul tanggungjawab sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak.

“Saya akan memberikan yang terbaik bagi memastikan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan seluruh negeri Sarawak terus terpelihara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Gelanggang Futsal PDRM Sarawak yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Senior Asisten Komisioner (SAC) Zailanni Amit turut dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak dengan memangku pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP).

Sementara itu, PDRM Kontinjen Sarawak menerusi kenyataan rasmi merakamkan ucapan tahniah kepada kedua-dua pegawai kanan berkenaan atas kenaikan pangkat serta pelantikan mereka.

Menurut kenyataan itu, pelantikan tersebut mencerminkan pengiktirafan terhadap pengalaman, dedikasi dan sumbangan kedua-duanya sepanjang berkhidmat dalam pasukan keselamatan negara.

“Pelantikan ini bukan sekadar pencapaian dalam kerjaya, malah merupakan amanah dan tanggungjawab besar yang menuntut kebijaksanaan, ketegasan serta kepimpinan berintegriti,” menurut kenyataan itu.

Kontinjen Sarawak turut menzahirkan harapan agar pengalaman dan kewibawaan Saifullizan serta Zailanni dapat memperkukuh kesepaduan dalam kalangan warga pasukan, selain meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi kepolisan.

Kepimpinan baharu itu juga diharap menjadi pemangkin kepada seluruh pegawai dan anggota polis untuk terus melaksanakan amanah secara profesional dan berintegriti demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sarawak sentiasa terpelihara.

BERITA LAIN

Acara tonggak rancakkan ekonomi luar Kuching

KUCHING: Penganjuran acara tonggak Sarawak bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah turut membantu merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan terlibat, khususnya menerusi pelaksanaan pelbagai program

BERITA TERBARU