KUCHING: Penganjuran acara tonggak Sarawak bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah turut membantu merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan terlibat, khususnya menerusi pelaksanaan pelbagai program di luar Kuching.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, berkata program yang dilaksanakan di kawasan berkenaan bukan sekadar memberi manfaat dari segi perkongsian ilmu dan pengajaran, tetapi turut menyumbang kepada perkembangan sektor ekonomi setempat.
“Program yang kita adakan di luar Kuching bukan hanya memberi manfaat dari segi pengajaran dan perkongsian ilmu, tetapi juga membantu mengembangkan serta meningkatkan sektor ekonomi di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Acara-Acara Tonggak Sarawak 2026 di sebuah hotel terkemuka, di sini.

Tambahnya, pelaksanaan acara tonggak turut merangkumi pelbagai aktiviti pembangunan, termasuk perasmian projek jalan raya, bangunan kerajaan serta lawatan kepimpinan negeri ke kawasan yang memerlukan perhatian.
Menurutnya, kejayaan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti sepanjang 2026 merupakan hasil kerja keras, kerjasama serta sokongan semua pihak, khususnya agensi kerajaan dan rakan strategik yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.
Jelasnya, usaha berpasukan dan komitmen semua pihak membolehkan pelbagai program serta aktiviti yang dirancang dilaksanakan dengan jayanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan setiap individu dan agensi memainkan peranan penting dalam memastikan setiap amanah serta tanggungjawab yang diberikan dapat dilaksanakan dengan berkesan, tanpa mengira besar atau kecil skop tugas masing-masing.
“Pelaksanaan program dan projek turut berdepan pelbagai cabaran, termasuk perubahan pada saat akhir serta keperluan menangani perkara yang memerlukan tindakan segera, sekali gus menuntut komitmen dan kerjasama berterusan semua pihak,” tegasnya.





