ARTIKEL

Polis, CyberSarawak bermesyuarat minggu depan susulan empat laporan ATM di Miri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Satu mesyuarat antara pihak polis dan CyberSarawak dijadualkan berlangsung minggu depan bagi menyelaraskan langkah pencegahan serta persiapan menghadapi ancaman serangan siber, susulan empat laporan kegagalan pengeluaran wang melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Miri.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Saifullizan Ishak berkata, beliau mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak mengadakan perbincangan dengan agensi keselamatan siber negeri ini bagi memastikan tindakan awal dapat dirancang secara teratur.

Menurutnya, kerjasama berkenaan penting bagi menyelaraskan peranan dan tanggungjawab antara agensi, khususnya dalam menghadapi sebarang kemungkinan insiden keselamatan siber.

“Kita perlu mengambil langkah awal sebagai persediaan sekiranya berlaku serangan siber,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Gelanggang Futsal PDRM Sarawak yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Saifullizan berkata, pihaknya turut merancang menjalin kerjasama dengan agensi di peringkat persekutuan, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta agensi keselamatan siber berkaitan.

Mengulas empat laporan berkenaan, beliau menjelaskan kesemuanya diterima daripada pelanggan sebuah bank di Miri yang gagal mengeluarkan wang menerusi ATM.

Bagaimanapun, katanya, punca sebenar gangguan itu masih dalam siasatan dan belum dapat dipastikan sama ada mempunyai kaitan dengan serangan siber atau sekadar masalah teknikal.

“Setakat ini, kita menerima empat laporan daripada pelanggan bank yang gagal mengeluarkan wang melalui mesin ATM. Keempat-empat laporan itu diterima di Miri.

“Sama ada kejadian tersebut melibatkan serangan siber atau sebaliknya, kita masih menjalankan siasatan, mungkin ia hanya masalah teknikal,” jelasnya.

Menurutnya, pihak bank terbabit juga telah mengeluarkan kenyataan berhubung gangguan berkenaan, manakala daerah lain di Sarawak termasuk Kuching belum merekodkan laporan seumpamanya.

Katanya, berdasarkan penilaian awal, gangguan itu berkemungkinan berpunca daripada masalah teknikal memandangkan serangan siber lazimnya memberi kesan yang lebih meluas.

“Bagaimanapun, kita akan meneruskan siasatan lanjut bagi menentukan punca sebenar kejadian,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU