ARTIKEL

Pertikai pengampunan bersyarat Najib sama ingkar titah Agong – Istana Negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebarang hujah yang mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan sendirinya disifatkan menjurus ke arah mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Menurut titah yang dikeluarkan Istana Negara hari ini, perintah pengampunan bersyarat itu jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti serta tidak berkaitan dengan mana-mana kes lain terhadap Najib.

Titah itu turut menjelaskan bahawa semua syarat dalam perintah pengampunan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah telah dipenuhi.

“Justeru, tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran dan tidak sepatutnya menyebabkan ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang telah diperkenankan,” menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun media sosial Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Dalam pada itu, titah berkenaan menyatakan bahawa pada 18 September 2026, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah meneliti petisyen Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara sebelum lembaga berkenaan memberikan nasihat sewajarnya kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Selanjutnya, Seri Paduka Baginda telah memerintahkan bahawa Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat iaitu sekiranya beliau membayar denda RM50 juta,” ujarnya.

Titah itu juga menegaskan bahawa kuasa pengampunan ialah prerogatif diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Pelaksanaan kuasa tersebut hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Memandangkan semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya.

UMNO mengesahkan pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam (6 November) bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, menyatakan bahawa kutipan menerusi Tabung Solidariti Najib Razak yang dilancarkan pada 18 September lalu sudah mencapai sasaran dan mencukupi untuk menjelaskan denda berkenaan.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilaporkan menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Sultan Ibrahim.

AGC dipetik menyatakan bahawa penangguhan itu dibuat susulan timbulnya persoalan perundangan mengenai tafsiran perintah berkenaan, khususnya berkaitan kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International.

KAPSYEN:

P1: Titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang dikeluarkan oleh Istana Negara hari ini.

SEO: pengampunan bersyarat Najib

BERITA LAIN

BERITA TERBARU