ARTIKEL

Abd. Fattah memotong reben simbolik bagi merasmikan Mini Karnival Koperasi Kariah Masjid Al-Mustaqim RPR Kidurong.

Koperasi kariah masjid model Malaysia diperluas ke enam masjid di Jepun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Malaysia bakal memperluas model koperasi kariah masjid ke peringkat antarabangsa menerusi penubuhan koperasi di enam masjid di Jepun, sekali gus membuka peluang baharu kepada pembangunan ekonomi komuniti Islam berasaskan institusi masjid.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, satu rombongan ANGKASA dijadual mengadakan lawatan ke Jepun pada awal Disember ini bagi merasmikan penubuhan koperasi kariah masjid model Malaysia di enam masjid sekitar Sapporo, Hiroshima dan Tokyo.

Beliau berkata, inisiatif itu sebahagian daripada usaha ANGKASA membangunkan jaringan koperasi kariah masjid di seluruh dunia, khususnya dalam memperkasakan kedudukan ekonomi komuniti Islam menerusi gerakan koperasi berteraskan institusi masjid.

Menurutnya, pendekatan itu berpotensi menjadikan masjid bukan sahaja pusat ibadah dan aktiviti keagamaan, malah pemangkin pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.

Abd. Fattah bercakap kepada media mengenai rancangan ANGKASA menubuhkan Koperasi Kariah Masjid Al-Mustaqim Bintulu Berhad di Jepun pada awal Disember ini.

Katanya, meskipun koperasi mempunyai hubungan rapat dengan prinsip ekonomi Islam, peranannya sebagai platform meningkatkan taraf ekonomi ahli kariah masih belum dimanfaatkan secara meluas oleh kebanyakan institusi masjid.

“Walaupun koperasi mempunyai hubungan rapat dengan ekonomi Islam, tidak banyak masjid menggunakan koperasi sebagai platform untuk meningkatkan tahap ekonomi ahli kariah masing-masing.

“Jadi, kita mahu menjadikan masjid sebagai asas kepada pembangunan koperasi yang bukan sahaja memberi manfaat ekonomi, malah memperkukuh kerjasama dalam kalangan komuniti Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Mini Karnival Koperasi Kariah Masjid Al-Mustaqim Bintulu Berhad di perkarangan parkir kenderaan Masjid Al- Mustaqim RPR Kidurong, di sini, pada Sabtu.

Abd. Fattah berkata, antara bidang yang berpotensi diteroka menerusi jaringan berkenaan ialah pemasaran produk halal, sekali gus memudahkan masyarakat Islam mendapatkan makanan dan barangan yang memenuhi keperluan halal, khususnya ketika berada di luar negara.

Abd. Fattah menunjukkan antara barangan keperluan asas yang ditawarkan pada Program Jualan Rahmah sempena Mini Karnival Koperasi Kariah Masjid Al-Mustaqim RPR Kidurong.

Sebagai contoh, katanya, pelancong Malaysia yang berkunjung ke Jepun kelak berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan makanan halal menerusi masjid yang mempunyai jaringan koperasi berkenaan.

Beliau berkata, model koperasi kariah masjid itu bersifat universal dan boleh disesuaikan mengikut persekitaran serta kerangka perundangan koperasi di setiap negara bagi memastikan pelaksanaannya dapat berjalan secara teratur dan berkesan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, usaha memperluas jaringan koperasi antarabangsa akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan negara ASEAN sebelum diperluas ke rantau Asia Pasifik, termasuk Jepun dan China.

Katanya, pelantikan beliau sebagai anggota Lembaga Koperasi Antarabangsa turut membuka ruang lebih luas untuk memperkukuh hubungan serta kerjasama antara gerakan koperasi Malaysia dengan komuniti koperasi global.

Selain koperasi kariah masjid, Malaysia juga mempunyai model koperasi sekolah yang berpotensi diperkenalkan ke peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya, tumpuan ketika ini diberikan kepada pembangunan jaringan koperasi kariah masjid bagi menghubungkan institusi masjid di seluruh dunia, sekali gus memperluas peluang ekonomi dan memastikan manfaatnya dapat dinikmati ahli kariah serta komuniti setempat.

BERITA LAIN

Acara tonggak rancakkan ekonomi luar Kuching

KUCHING: Penganjuran acara tonggak Sarawak bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah turut membantu merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan terlibat, khususnya menerusi pelaksanaan pelbagai program

BERITA TERBARU