ARTIKEL

Fadillah enggan komen spekulasi bertanding PRU Sarawak Ke-13

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: “Kalau spekulasi, macam mana saya hendak tahu?” Demikian reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof apabila diminta mengulas spekulasi mengenai kemungkinan beliau bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.

Fadillah yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengesahkan atau menafikan perkara itu, sebaliknya menegaskan spekulasi tidak perlu diulas.

“Spekulasi tidak perlulah diberi komen,” katanya selepas merasmikan Gelanggang Futsal PDRM Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas tempoh kempen selama 14 hari yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beliau berkata GPS menghormati keputusan itu dan bersedia menyesuaikan gerak kerja pilihan raya mengikut tempoh yang diperuntukkan.

Menurutnya, penetapan tempoh kempen ialah bidang kuasa SPR, manakala parti politik bertanggungjawab memastikan segala persiapan dapat dilaksanakan berdasarkan ketetapan itu.

“Sebagai sebuah parti, kita menghormati apa sahaja keputusan SPR.

“Kalau tempoh kempen ditetapkan selama 14 hari, kita perlu membuat persiapan untuk 14 hari. Kalau hanya 10 hari, kita akan bekerja untuk 10 hari,” katanya.

Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata GPS bersedia menyelaraskan gerak kerja jentera pilihan raya tanpa mengira tempoh kempen yang ditetapkan.

Fadillah antara pemimpin kanan GPS yang turut berperanan dalam kepimpinan PBB, parti tunjang gabungan itu.

Spekulasi mengenai kemungkinan beliau bertanding timbul baru-baru ini menjelang PRU Sarawak Ke-13, ketika parti politik membuat persiapan bagi hari penamaan calon pada 28 November ini.

Untuk rekod, Fadillah ialah Ahli Parlimen Petra Jaya sejak 2004 dan berjaya mempertahankan kerusi itu dalam lima pilihan raya umum berturut-turut.

Beliau turut melakar sejarah apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022, sekali gus menjadi pemimpin pertama daripada Sarawak yang menyandang jawatan itu.

SEO: Fadillah Yusof

BERITA LAIN

BERITA TERBARU