ARTIKEL

SAKSI: Roland menyaksikan BSA LitSara® pada Majlis Makan Malam Tahunan SBC 2026, semalam.

Tiga produk baharu minyak pati LitSara® dilancar di Kuching

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pembangunan sumber biodiversiti Sarawak perlu dilaksanakan secara mampan bagi memastikan komuniti orang asal yang menyumbang pengetahuan tradisional turut menikmati manfaat ekonomi daripada hasil penyelidikan dan pengkomersialannya.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, usaha berkenaan penting bagi mewujudkan peluang ekonomi yang bermakna kepada komuniti.

“Pada masa yang sama, ini dapat memastikan sumber biodiversiti negeri dimanfaatkan secara bertanggungjawab.

“Justeru, Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) memainkan peranan penting dalam memperlihatkan pelaksanaan praktikal Akses dan Perkongsian Faedah (ABS), sekali gus meletakkan Sarawak sebagai antara rujukan penting di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Majlis Makan Malam Tahunan SBC 2026 dan Pemeteraian Perjanjian Perkongsian Faedah (BSA) LitSara® di Hotel Riverside Majestic di sini, semalam.

Mengenai BSA, perjanjian itu ditandatangani oleh Majlis Biodiversiti Sarawak bersama wakil enam komuniti orang asal yang terdiri daripada komuniti Kelabit, Lun Bawang dan Bidayuh.

Komuniti Kelabit diwakili Pa’ Lungan dan Pa’ Ukat di Bario, manakala komuniti Lun Bawang diwakili Long Kerebangan, Long Telingan dan Long Rusu di Ba’ Kelalan serta komuniti Bidayuh dari Kampung Kiding, Padawan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Biodiversiti Sarawak merangkap Pemangku Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi Perancangan dan Pembangunan Ekonomi, Datuk Ir Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan berkata, pembaharuan perjanjian itu mencerminkan kepercayaan dan kerjasama berterusan antara SBC dan komuniti terlibat.

“Kerjasama ini membuktikan komitmen bersama dalam mengekalkan perkongsian yang adil dan telus, selain memastikan pembangunan LitSara® memberi manfaat melangkaui aspek komersial.

“Inisiatif itu turut memberi penekanan kepada peningkatan keupayaan komuniti, sumber pendapatan mampan serta pengiktirafan terhadap pemilik pengetahuan tradisional,” jelasnya.

Pelancaran tiga produk baharu berasaskan minyak pati LitSara® turut diadakan pada majlis itu.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran tiga produk baharu berasaskan minyak pati LitSara®, iaitu LitSara® Moisturising Stick, LitSara® Blended Essential Oils dan LitSara® Relaxing & Sleep Mist.

Penghasilan produk berkenaan usaha SBC memperluas penggunaan LitSara® kepada pembangunan produk hiliran yang mempunyai nilai tambah dan potensi komersial lebih tinggi.

Perjalanan LitSara® bermula pada 2005 menerusi pendokumentasian pengetahuan tradisional yang dikongsi komuniti orang asal sebelum melalui beberapa tahun penyelidikan dan pembangunan saintifik.

Inisiatif itu kemudian mencatat kejayaan penting apabila BSA pertama di Malaysia dimeterai pada 2019 dengan penyertaan lima komuniti, sebelum diperluas pada 2022 menerusi penglibatan komuniti Lun Bawang dari Long Rusu, Ba’ Kelalan.

Sejak perjanjian pertama dimeterai, komuniti terbabit membekalkan lebih 2,000 liter minyak pati LitSara® manakala manfaat kewangan berjumlah kira-kira RM2.35 juta telah diagihkan antara 2019 hingga 2026.

Selain itu, lebih RM1 juta manfaat bukan kewangan turut disalurkan menerusi pembangunan infrastruktur, penyediaan kemudahan penyulingan dan program peningkatan keupayaan komuniti.

Usaha itu memperkukuh penyertaan komuniti dalam aktiviti penuaian, penanaman, pengeluaran minyak pati secara mampan serta pembangunan rantaian nilai LitSara®.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU