BINTULU: Gerakan koperasi kariah masjid di Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif apabila 622 koperasi direkodkan di seluruh negara dengan perolehan terkumpul RM34.82 juta setakat 31 Disember 2025, sekali gus membuktikan institusi masjid berpotensi menjadi pemangkin pembangunan ekonomi ummah.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, berkata pencapaian itu mencerminkan keupayaan koperasi kariah masjid menggembleng kekuatan anggota, modal dan kepakaran secara kolektif bagi mewujudkan kegiatan ekonomi yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau berkata jumlah keanggotaan koperasi berkenaan kini mencecah 49,684 orang dengan nilai syer dan yuran sebanyak RM16.85 juta, manakala keseluruhan aset direkodkan berjumlah RM43.80 juta.
“Angka ini menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dan membuktikan bahawa institusi masjid mempunyai keupayaan untuk menjadi pemangkin kegiatan ekonomi masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mini Karnival Koperasi Kariah Masjid Al-Mustaqim Bintulu Berhad di perkarangan tempat letak kenderaan Masjid Al-Mustaqim RPR Kidurong, di sini pada Sabtu.
Menurutnya, koperasi kariah masjid mempunyai peranan besar dalam memperkukuh ekonomi ummah kerana institusi masjid bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ibadah, pendidikan dan kebajikan, malah berupaya menjadi platform pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat.
Katanya, menerusi gerakan koperasi, anggota kariah berpeluang menggembleng modal, kepakaran dan tenaga bagi membangunkan aktiviti perniagaan secara bersama, dengan keuntungan yang dijana boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kesejahteraan anggota serta membantu golongan memerlukan.
Beliau berkata perkembangan gerakan itu turut mendapat perhatian kerajaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan peruntukan RM6 juta kepada ANGKASA pada 2024, dengan RM500,000 dikhususkan bagi membantu koperasi masjid di kawasan desa.
Tambahnya, sokongan berkenaan merupakan pengiktirafan terhadap potensi koperasi kariah masjid sebagai instrumen pembangunan ekonomi rakyat dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh gerakan koperasi di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, beliau berkata koperasi kariah masjid perlu memanfaatkan peluang dalam industri halal yang kini berkembang dan merangkumi pelbagai sektor, bukan sahaja makanan dan minuman, malah farmaseutikal, kosmetik, penjagaan diri, logistik, pelancongan serta perkhidmatan.
Menurutnya, eksport halal Malaysia pada 2025 mencecah RM68.52 bilion, meningkat 10.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan sektor makanan dan minuman menyumbang RM36.86 bilion manakala bahan ramuan halal sebanyak RM21.39 bilion.
Katanya, perkembangan itu membuka peluang kepada koperasi untuk memperluas penglibatan dalam pengeluaran dan pemasaran makanan halal, pengedaran produk tempatan, pembekalan bahan mentah serta pembangunan perusahaan kecil berasaskan komuniti.
Beliau turut menggalakkan koperasi kariah masjid di Sarawak meneroka potensi hasil dan produk tempatan dengan menjalin kerjasama dengan usahawan serta agensi berkaitan bagi memperluas pasaran dan meningkatkan nilai ekonomi produk keluaran negeri ini.
Mengulas perkembangan Koperasi Kariah Masjid Al-Mustaqim Bintulu Berhad, beliau berkata koperasi yang ditubuhkan pada 12 Mac 2020 itu kini mempunyai 117 anggota dan menunjukkan perkembangan positif menerusi pelbagai aktiviti perniagaan.
Menurut Abdul Fattah, koperasi berkenaan sudah mempunyai lima kedai koperasi yang disewakan kepada anggota untuk menjalankan perniagaan, selain menyediakan tapak niaga bagi memberi peluang kepada peniaga menjalankan aktiviti jualan.
Lebih membanggakan, katanya, koperasi itu turut mempelbagaikan sumber pendapatan menerusi penganjuran program komuniti seperti sukan rakyat, jualan bulanan, jualan berkala dan Fun Run yang bukan sahaja merancakkan kegiatan ekonomi, malah menggalakkan penglibatan masyarakat setempat.
Beliau berkata koperasi tersebut juga mempunyai perancangan jangka panjang untuk menceburi sektor pertanian secara fertigasi, termasuk penanaman cili dan sayur-sayuran sebagai usaha mewujudkan sumber pendapatan tambahan.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak pengurusan koperasi dapat melaksanakan perancangan berkenaan secara teratur dengan mengambil kira potensi pasaran, keupayaan modal serta kebolehlaksanaan setiap aktiviti perniagaan bagi memastikan kelangsungan operasi.
Katanya, kepelbagaian aktiviti bermula daripada penyewaan premis dan tapak niaga hingga penganjuran program komuniti serta pertanian fertigasi berupaya saling melengkapi dalam membentuk sebuah koperasi yang lebih berdaya maju.






