ARTIKEL

Fadillah ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Sarawak Kita Empun 3.0 Zon Kuching, hari ini. | Foto: RAMIDI SUBARI

Fadillah gesa jentera parti tingkat kesedaran rakyat keluar mengundi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jentera parti perlu memainkan peranan lebih aktif dalam meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kepentingan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi memastikan kadar keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 meningkat berbanding pilihan raya lalu.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kadar keluar mengundi yang rendah pada pilihan raya sebelum ini menjadi cabaran yang perlu ditangani semua jentera parti.

Beliau memberitahu, keadaan politik yang tidak menentu serta sikap segelintir pengundi yang hilang keyakinan terhadap proses politik merupakan antara faktor yang boleh mempengaruhi kecenderungan mereka untuk keluar mengundi.

“Bagaimanapun, saya yakin kadar penyertaan pengundi pada PRU Sarawak Ke-13 berpotensi meningkat berbanding pilihan raya lalu.

“Jadi, inilah peranan jentera parti untuk memberi kesedaran mengapa orang perlu turun mengundi bagi mencorakkan parti yang bakal memimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Sarawak Kita Empun (SKE) 3.0 Zon Kuching di Pusat Konvensyen Penview (PCC), Demak, di sini, hari ini.

Selain itu, Fadillah menjelaskan, usaha mendekati pengundi, khususnya golongan belia, perlu dipergiat menerusi pendekatan bersesuaian termasuk secara bersemuka dan penggunaan media sosial.

Menurutnya, PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah menyediakan pasukan belia bagi mendekati golongan muda serta mendapatkan maklum balas mereka secara berterusan.

“Pendekatannya pun berlainan, ada yang kita kena dekati secara bersemuka, tapi ada juga kena dekati secara media sosial.

“Insya-Allah, kita sudah ada pasukan ini dan mereka akan memainkan peranan untuk berinteraksi dengan golongan muda serta memahami pendekatan yang sesuai untuk mendapatkan sokongan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, penglibatan golongan muda bukan hanya tertumpu kepada musim pilihan raya, sebaliknya dilaksanakan sepanjang tahun menerusi pelbagai program dan sesi libat urus.

Jelasnya, antara program itu ialah Lan Berambeh bersama anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di Semenanjung serta sesi dialog bersama Premier yang memberi ruang kepada golongan muda menyuarakan pandangan dan cadangan secara langsung.

Kata beliau lagi, pelbagai inisiatif kerajaan negeri termasuk pendidikan tinggi percuma dan bantuan penerbangan sehingga RM600 untuk pelajar turut mencerminkan usaha memberi perhatian kepada keperluan golongan muda.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai pengundi, khususnya golongan belia dan pengundi baharu, tampil menunaikan tanggungjawab mereka pada PRU Sarawak Ke-13.

Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Program SKE 3.0 merangkap Timbalan Ketua Pergerakan Wanita Parti PBB, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta barisan kepimpinan tertinggi GPS lain.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU