SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes gigitan anjing di bandar ini yang semakin serius, sekali gus menimbulkan risiko rabies.
Pengerusinya, Clerence Ting, berkata sebanyak 538 kes gigitan anjing dilaporkan dari Januari hingga Ogos tahun ini, melibatkan 400 anjing peliharaan dan 138 anjing liar.
“Anjing liar ada 138 kes. Itu bermakna lebih kurang 20 kes sebulan dan hampir setiap tiga hari berlaku dua kes gigitan anjing. Keadaan ini sebenarnya amat membimbangkan,” katanya pada Mesyuarat Penuh MPS di sini, semalam.
Beliau berharap pasukan bertanggunjawab MPS akan terus mengambil tindakan tetapi tanpa kesedaran pemilik anjing sendiri, usaha ini tidak akan berkesan.
“Nampaknya jumlah terus meningkat dari semasa ke semasa, walaupun telah diingatkan berkali-kali, pemilik anjing tidak seharusnya membiarkan haiwan mereka berkeliaran sesuka hati,” tegasnya
Katanya lagi, menurut peraturan, anjing yang dibawa keluar perlu diikat dengan tali, selain wajib didaftarkan dan mempunyai lesen sah.
Beliau turut mengingatkan pemilik supaya memandulkan haiwan peliharaan bagi mengawal pembiakan, serta memastikan vaksinasi lengkap diberikan bagi mencegah penyakit berbahaya seperti rabies.
Langkah tersebut dianggap sangat penting kerana rabies kekal sebagai ancaman nyata.
“Tahun ini sahaja, beberapa kes rabies telah dilaporkan di Kuching dan Bintulu, sekali gus menunjukkan risiko penyakit itu wujud di bandar-bandar utama Sarawak termasuk Sibu yang berada di tengah-tengah,” tambahnya.
Menurut beliau lagi, pematuhan masyarakat terhadap peraturan pemilikan anjing amat diperlukan bagi menjamin keselamatan awam dan mengelakkan ancaman rabies daripada terus menular. – TVS

Kerajaan Sarawak sokong penubuhan Kolej Teknologi Tinggi HIKMAH
KUCHING: Kerajaan Sarawak menjamin akan terus menyokong usaha Harakah Islamiah (HIKMAH) memperkasa bidang pendidikan, termasuk menerusi penubuhan Kolej Teknologi Tinggi (High Tech) HIKMAH bagi memperluas
