KUCHING: Harakah Islamiah (HIKMAH) akan terus memperkukuh keupayaan organisasi itu dalam melaksanakan gerak kerja dakwah dan pelbagai program pembangunan masyarakat Islam secara lebih sistematik serta menyeluruh.
Yang Dipertua HIKMAH Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain berkata, pendekatan tersebut dapat diperkukuh susulan penubuhan Kompleks HIKMAH yang dilengkapi prasarana lebih sempurna, sekali gus membolehkan organisasi itu meningkatkan keupayaan dalam merancang, menyelaras dan melaksanakan program dakwah dengan lebih berkesan.
Katanya, sebagai sebuah organisasi dakwah, HIKMAH juga memikul amanah dan tanggungjawab besar dalam memperkukuh syiar Islam serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat Islam di Sarawak.

“Dakwah bukan sekadar menyampaikan mesej agama, sebaliknya turut menuntut kesungguhan untuk mendidik, membimbing, menyantuni, membina dan mengangkat martabat kehidupan masyarakat.
“Atas kesedaran itu, gerak kerja HIKMAH turut merangkumi pelbagai bidang termasuk pendidikan, kebajikan, pembangunan masyarakat, pengukuhan institusi keluarga serta pembinaan generasi Muslim yang berilmu, berakhlak dan berdaya maju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks HIKMAH yang disempurnakan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, malam tadi.
Tambahnya, antara keutamaan HIKMAH ialah menyantuni saudara baharu, khususnya komuniti mualaf yang menetap di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Menurutnya, tanggungjawab terhadap golongan mualaf bukan sekadar menyampaikan ilmu agama, malah memastikan mereka mendapat sokongan dan bimbingan agar tidak berasa bersendirian dalam perjalanan menghayati serta mengamalkan Islam.
“Di samping itu, pembangunan remaja dan belia turut menjadi antara agenda penting HIKMAH.
Kita mahu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja memiliki ilmu dan kemahiran, tetapi juga mempunyai jati diri, akhlak mulia, daya kepimpinan dan kesedaran untuk menyumbang kepada agama, masyarakat serta negeri,” ujarnya.
Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Kompleks HIKMAH juga bukan sekadar sebuah bangunan, sebaliknya melambangkan harapan, amanah dan perjalanan baharu dalam memperkukuh gerak kerja dakwah serta pembangunan ummah di Sarawak.
Jelasnya, pembangunan kompleks berkenaan mempunyai sejarah dan makna tersendiri kerana lahir daripada aspirasi, perancangan serta kerjasama pelbagai pihak, selain sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada HIKMAH.
“Cetusan idea untuk merealisasikan kompleks itu turut mendapat sokongan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerusi penyediaan tanah dan penyaluran geran pembangunan oleh Kerajaan Sarawak yang menjadi pemangkin utama kepada pelaksanaan projek berkenaan.
“Bagi pihak seluruh warga HIKMAH, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Premier dan Kerajaan Sarawak atas segala sokongan, sumbangan serta kepercayaan yang diberikan.
“Insya-Allah, kompleks ini akan dimanfaatkan sebaik-baiknya dan menjadi bukti bahawa setiap sokongan serta kepercayaan yang diberikan tidak akan disia-siakan, demi kepentingan agama, masyarakat dan negeri,” tegasnya.


