ARTIKEL

Gerald ketika ditemui Suara Sarawak. (TVS - FAITULLAH MORNI)

54 atlet Sarawak wakili Malaysia dalam Sukan SEA Ke-33 Thailand

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BANGKOK: Peningkatan jumlah atlet dari Sarawak yang mewakili Malaysia dalam Sukan SEA Ke-33 Thailand menunjukkan platform pembangunan sukan di Sarawak semakin kukuh dan berkesan.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, lebih 50 atlet dari Sarawak ini adalah bukti kejayaan program pembangunan atlet di Sarawak.

“Kita ada sekitar 54 atlet dari Sarawak yang mewakili Malaysia, satu peningkatan berbanding temasya sebelum ini.

“Ini menunjukkan program pembangunan kita berkesan serta memberi peluang kepada atlet untuk bertanding di pentas serantau,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Penyiaran Antarabangsa (IBC) hari ini.

Rentap berkata, Sukan SEA mempertandingkan lebih 50 jenis sukan dan lebih 400 acara, sekali gus membuka lebih banyak kategori pertandingan — penyertaan besar dari Sarawak tetap membanggakan.

Mengulas prestasi semasa kontinjen negeri itu di Bangkok, beliau berkata maklum balas daripada pengurus pasukan serta atlet sendiri setakat ini amat positif.

“Ramai atlet kita berada dalam semangat yang tinggi.

“Semasa melawat pusat boling, kita dimaklumkan bahawa beberapa pemain kita berada dalam prestasi terbaik dan menjadi antara pencabar utama,” katanya.

Rentap turut menekankan bahawa Sukan SEA bukan sahaja medan memburu pingat, tetapi platform mengukuhkan semangat kesukanan dan kerjasama serantau.

“Sukan SEA ini penting kerana ia bukan sekadar pertandingan.

“Ia medium mempertemukan atlet dari negara-negara ASEAN untuk membina persahabatan dan rangkaian yang melangkaui dunia sukan,” ujarnya.

Beliau turut yakin pembangunan sukan di Sarawak akan terus berkembang, sekali gus membuka lebih banyak ruang kepada atlet negeri itu untuk menyerlah di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Paling penting, mereka bukan sahaja membawa nama Sarawak, tetapi juga Malaysia.

“Kita berharap mereka dapat membawa kemenangan untuk negara,” katanya.

BERITA LAIN

Kelibat Ayu Az’zetty curi tumpuan

BINTULU: Berbekalkan latihan selama sebulan, pendatang baharu muaythai, Ayu Az’zetty Allyya Azmi, mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan menerusi tumbukan teknikal (TKO) pada hari pertama Kejohanan

BERITA TERBARU