KUCHING: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memutuskan penutupan sementara 54 sekolah rendah melibatkan 22,476 murid dan sembilan sekolah menengah melibatkan 17,268 murid di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu dan PPD Tatau/Sebauh.
Menurut JPN Sarawak dalam kenyataan, penutupan sementara itu dibuat dari 7 hingga 11 September ini susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan berkenaan yang mencapai paras tidak sihat.
“Secara keseluruhannya, keputusan penutupan sementara sekolah-sekolah pada 7 hingga 11 September 2026 melibatkan 617 sekolah rendah melibatkan 130,953 murid dan 93 sekolah menengah melibatkan 107,350 murid di bawah seliaan 14 PPD yang terjejas oleh fenomena jerebu,” katanya.
Sehubungan itu, JPN Sarawak berkata sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan sementara selaras dengan peruntukan yang terkandung dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 8 Tahun 2016: Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana bertarikh 21 Julai 2016.




