ARTIKEL

Gerald menyerahkan bantuan makanan kepada empat keluarga di Kampung San Demam Asal, hari ini.

JAKKSA Terus Prihatin, Bantu Keluarga Memerlukan di Sri Aman

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SRI AMAN: Keprihatinan terhadap golongan memerlukan terus menjadi keutamaan Jawatankuasa Amal dan Kesihatan Komuniti Sri Aman (JAKKSA) menerusi penyaluran bantuan makanan kepada empat keluarga di Kampung San Demam Asal, hari ini.

Pengerusi JAKKSA, Gerald Empaling, mengetuai program berkenaan bersama-sama ahli jawatankuasanya dengan turun padang menyampaikan bakul makanan serta barangan keperluan asas kepada penerima.

Menurut Gerald, golongan orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan keluarga berdepan kesulitan ekonomi perlu diberikan perhatian sewajarnya agar mereka tidak terpinggir daripada arus pembangunan masyarakat.

“Walaupun bantuan makanan yang disalurkan mungkin sederhana, kami berharap ia dapat membantu meringankan beban keluarga yang bergelut memenuhi keperluan harian.

“Paling penting, mereka tahu bahawa masyarakat tidak melupakan mereka dan sentiasa prihatin dengan kebajikan mereka,” katanya.

Beliau yang juga seorang peguam menegaskan bahawa nilai sebenar khidmat masyarakat bukan terletak pada jumlah sumbangan, sebaliknya keikhlasan dalam menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, setiap individu berhak menjalani kehidupan dengan bermaruah tanpa mengira usia, keupayaan fizikal atau kedudukan ekonomi.

Gerald turut menekankan kepentingan kerjasama antara organisasi kebajikan dengan pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi bagi memastikan bantuan disalurkan kepada penerima yang benar-benar memerlukan.

Wakil Tuai Rumah, Brayan Sigan, menyambut baik inisiatif berkenaan dan merakamkan penghargaan kepada JAKKSA atas keprihatinan ke atas kebajikan penduduk kampung.

Menurut Gerald, JAKKSA akan terus komited melaksanakan pelbagai program kebajikan di sekitar Sri Aman, merangkumi bantuan makanan, sokongan kesihatan, sumbangan pendidikan dan inisiatif kemasyarakatan lain.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU