55 saman dikeluarkan dalam Ops Samseng Jalanan

KUCHING: Sebanyak lima motosikal di sita manakala 55 saman dikeluarkan dalam “Op Samseng Jalanan” di Jalan FAC Matang di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt. Aidil Bolhassan berkata, “Op Samseng Jalanan” dijalankan bagi mengesan dan menangkap penunggang motosikal yang terlibat dengan aktiviti lumba haram.

“Lima motosikal berkenaan di sita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk pemeriksaan lanjut.

“Saman pula dikeluarkan atas beberapa kesalahan, antaranya, cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu, ubah suai kenderaan, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan dan tidak memakai topi keledar,” katanya menerusi satu kenyataan.

Katanya, seramai 11 anggota polis yang disertai oleh enam sukarelawan simpanan polis membantu dalam menjayakan operasi ini.

“Operasi ini bertujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ke tahap yang paling minimum.

“Lumba haram yang dilakukan oleh mat rempit bukan sahaja boleh membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya yang lain serta mengganggu ketenteraman awam dengan bunyi bising daripada ekzos yang diubah suai.

“Dalam pada itu, sebanyak 91 kenderaan diperiksa sepanjang operasi tersebut,” jelasnya.

Ujarnya, operasi sebegini akan diteruskan dari masa ke semasa terutama pada hujung minggu untuk memastikan aktiviti lumba haram oleh mat rempit dapat dihapuskan khususnya di daerah Padawan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti lumba haram kepada pihak polis supaya tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap mereka.

PERIKSA … Kelihatan anggota polis menjalan Op Samseng Jalanan di Jalan FAC Matang di Kuching, malam Jumaat lalu.

Suara Sarawak