56.4 peratus usahawan wanita hilang sumber pendapatan

KUCHING: Sebanyak 56.4 peratus daripada 415 usahawan wanita Sarawak hilang sumber pendapatan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan, Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, hasil kajian mendapati bahawa, hanya 0.72 peratus usahawan wanita yang memperolehi pendapatan lebih daripada RM5,000.

“Selain itu, tinjauan juga menunjukkan, 51 peratus usahawan wanita di negeri ini tidak mendaftarkan perniagaan mereka sehingga sukar untuk mendapatkan bantuan kerajaan.

“Manakala, 64 peratus usahawan ini telah berkahwin dan 26 peratus lagi berstatus ibu tunggal. “Ini adalah dua kategori besar menunjukkan bahawa wanita kita menggalas dua tanggungjawab utama dalam kehidupan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara dalam talian selepas Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak di sini, semalam.

Tambah Fatimah, peratusan ini mungkin akan berubah kerana hampir setahun dunia mengalami pandemik Covid-19 yang memberi impak besar kepada usahawan wanita pada masa kini.

Selain itu, usahawan wanita Sarawak juga didapati kurang kesedaran untuk mendaftarkan perniagaan mereka yang merupakan perkara asas dalam perniagaan bagi mendapatkan mana-mana bantuan kerajaan.

Menurutnya, sejak wabak tersebut melanda, golongan wanita amat terkesan apabila perlu menggalas tanggungjawab besar bagi memastikan keperluan semasa keluarga sentiasa mencukupi.