KUCHING: Sebanyak 20,600 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Sarawak sepanjang 2018, dengan 322 daripadanya merupakan kes kemalangan maut.

Residen Bahagian Kuching Sherrina Hussaini berkata, berdasarkan angka tersebut, purata 56 kemalangan dan satu kematian berlaku setiap hari.

“Kemalangan boleh berlaku di mana-mana, bila-bila dan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.“

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2015, 54 peratus daripada kematian ini melibatkan pejalan kaki, penunggang motosikal dan basikal,” katanya ketika menyempurnakan Program Minggu Keselamatan Jalan Raya Sedunia Kelima inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di salah sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Sherrina berkata, program ini menarik kerana ia bertujuan memberi penerangan dan pemahaman tentang kemalangan kepada ketua-ketua masyarakat dan ketua kaum.

“Selain itu, program ini bertujuan memastikan aspek keselamatan jalan raya sampai ke peringkat akar umbi dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia amnya, dan Sarawak khasnya.

Program bertemakan “Leader for Road Safety” #Speakup itu turut dihadiri Pegawai Daerah Bau Anielia Siam; Pegawai Daerah Lundu, Gustian Durani; Pegawai Daerah Kecil Padawan, Rangem Jamang dan semua ketua masyarakat Bahagian Kuching.

Antara penceramah jemputan termasuklah Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Sarawak ASP Mathew Manggie; Ketua Unit Penguatkuasaan Bermotosikal JPJ Sarawak, Azizul Annuar, dan Pengarah Keselamatan Jalan Raya Sarawak, Christopher Alex Boniface Barau.Program Minggu Keselamatan Jalan Raya Sedunia ini telah diadakan pada 6 hingga 12 Mei setiap tahun.

Suara Sarawak