KUCHING: Sebanyak 568 kes klef direkodkan oleh Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Hospital Umum Sarawak (HUS) dari tahun 2015 sehingga 2025.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, kes terdiri daripada 478 kes bibir dan lelangit klef serta 90 kes lelangit klef sekunder.
“Data rawatan ini menunjukkan kepentingan intervensi yang tepat pada masanya kerana penjagaan klef bukan sekadar melakukan pembedahan.

“Ia adalah mengenai pemberian rawatan yang tepat pada peringkat pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak yang sesuai, di samping memastikan kesinambungan penjagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks yang dibacakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk Wee Hong Seng ketika menyempurnakan Program Kesedaran Klef Sarawak 2026 di pusat beli-belah Vivacity di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, median umur bagi pembedahan primer bibir klef ialah lima bulan, manakala pembedahan palatoplasti dilakukan pada median umur 12.5 bulan.
Katanya, data itu menekankan kepentingan rujukan awal, rawatan tepat pada masanya serta tindakan susulan jangka panjang yang berterusan.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menambah, penjagaan klef merupakan satu perjalanan sepanjang hayat, bermula sejak lahir dan berterusan sepanjang zaman kanak-kanak, remaja sehingga dewasa.
Oleh itu katanya, tiada jabatan yang mampu melaksanakan semua ini secara bersendirian, justeru memerlukan komitmen jangka panjang daripada pasukan multidisiplin.
“Di HUS, penjagaan klef melibatkan kerjasama antara Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Anestesiologi, pasukan Pergigian, Otorinolaringologi (ENT).
“Selain itu, melibatkan Terapi Pertuturan dan Bahasa, Audiologi, Pediatrik, Kejururawatan serta perkhidmatan sokongan yang lain,” katanya.
Jelasnya, kerjasama ini bagi memastikan setiap kanak-kanak menerima rawatan yang tepat pada peringkat pertumbuhan dan perkembangan yang sesuai.
“Pada masa sama, memastikan mereka dapat makan, bertutur, mendengar, belajar, membesar dan berkembang dengan penuh keyakinan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meluahkan harapan agar program kesedaran yang diadakan dapat meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap klef.
“Sekali gus, memperbetulkan mitos dan salah tanggapan, mengurangkan stigma serta membantu keluarga memahami di mana dan bila mereka perlu mendapatkan rawatan.
“Maka, penting agar setiap keluarga mengetahui bahawa mereka sentiasa mendapat sokongan daripada komuniti sepanjang perjalanan penjagaan klef anak mereka,” katanya.



