ARTIKEL

Nancy menyampaikan cenderahati kepada peserta selepas merasmikan Program Advokasi Penjagaan OKU Autisme Peringkat Sarawak 2026.

56,980 OKU berdaftar di Sarawak — Nancy

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengesanan awal dan pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) autisme semakin meningkat, dengan jumlah individu autisme berdaftar di negara ini kini mencecah 91,681 orang sehingga 31 Mei 2026.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata peningkatan itu menunjukkan semakin ramai ibu bapa tampil mendapatkan diagnosis serta sokongan awal bagi anak-anak mereka.

Di Sarawak, beliau memaklumkan terdapat 56,980 OKU berdaftar, termasuk 24,743 dalam kategori pembelajaran dan 7,366 individu autisme. Daripada keseluruhan 843,759 OKU berdaftar di seluruh negara, seramai 341,229 merupakan OKU kategori pembelajaran.

“Angka ini bukan sekadar statistik, malah menggambarkan keperluan untuk kita terus memperkukuh intervensi awal, sokongan kepada keluarga serta menyediakan persekitaran yang lebih inklusif,” katanya ketika merasmikan Program Advokasi Penjagaan OKU Autisme Peringkat Sarawak 2026 di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, hari ini.

Nancy menjelaskan autisme atau Autism Spectrum Disorder (ASD) bukanlah penyakit, sebaliknya keadaan perkembangan neurologi yang unik, dengan setiap individu mempunyai kebolehan, potensi dan keperluan berbeza yang memerlukan sokongan berterusan daripada keluarga, masyarakat dan kerajaan.

Antara inisiatif kerajaan ialah pengoperasian Taska Autisme di Sibu, Subsidi Yuran Pembelajaran Autisme (SYPA) dengan peruntukan RM15 juta memberi manfaat kepada hampir 30,000 kanak-kanak autisme, serta peluasan Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) ke Sabah, Sarawak dan Labuan menerusi peruntukan RM12 juta dalam Belanjawan 2026, dengan RM4 juta khusus untuk Sarawak.

Nancy menegaskan usaha memperkasa komuniti autisme memerlukan kerjasama erat semua pihak, dan memuji usaha Sarawak mewujudkan masyarakat inklusif termasuk pembukaan Ausome Park di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), taman permainan luar mesra autisme pertama di negeri ini. “Setiap anak autisme mempunyai potensi yang menunggu untuk dikembangkan. Setiap keluarga yang berjuang berhak untuk tidak berseorangan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU