BINTULU: Seramai 57 pelajar menerima perkhidmatan gunting rambut secara percuma menerusi Program Gunting Rambut Percuma Bersama Abang S anjuran Pergerakan Wanita dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting RPR Sebiew yang diadakan di Pondok KRT RPR SPPS Sebiew, petang tadi.
Program tersebut bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa serta memastikan para pelajar tampil kemas dan bersedia menjelang sesi persekolahan baharu, Isnin depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila jumlah kehadiran meningkat daripada sasaran awal 50 kepada 57 pelajar.
“Program ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos perbelanjaan keluarga, malah memastikan anak-anak sekolah berada dalam keadaan kemas dan berkeyakinan apabila kembali ke sekolah,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Menurut beliau, peserta yang hadir bukan sahaja dari kawasan RPR Sebiew, malah melibatkan penduduk dari Kampung Tinggal (Sebiew), Kampung Kemunting, Kampung Baru serta kawasan sekitar.
Melihat kepada sokongan padu daripada komuniti setempat, Iskandar berkata PBB N.69 Jepak bercadang menjadikan program tersebut sebagai acara tahunan, selari dengan usaha memperkukuh hubungan antara parti dan masyarakat.
Beliau turut memaklumkan bahawa program berkenaan merupakan program pertama anjuran PBB Ranting RPR Sebiew, sekali gus menjadi platform permulaan kepada penganjuran lebih banyak aktiviti kemasyarakatan pada masa hadapan.
“Insya-Allah, menjelang bulan Ramadan nanti, pelbagai program akan dirancang dan dilaksanakan secara bersama antara parti dan komuniti demi kebajikan masyarakat di kawasan DUN Jepak,” katanya.




