SARIKEI: Seramai 580 penerima daripada golongan kurang berkemampuan menerima sumbangan menerusi Program Sejambak Kasih anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, hari ini.
Kesemua penerima terdiri daripada individu yang bakal menyambut perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam.
Datuk Mohammad Razi Sitam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata Program Sejambak Kasih merupakan usaha berterusan kerajaan bagi memastikan golongan yang memerlukan tidak tercicir daripada menerima bantuan, khususnya menjelang musim perayaan.
Menurut beliau, pecahan penerima melibatkan 378 orang dari Sarikei, 186 orang dari Meradong, 10 orang dari Julau dan enam orang dari Pakan.
“Program ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam meringankan beban kewangan rakyat, selain membawa kegembiraan kepada penerima dalam menyambut Tahun Baharu Cina yang bakal tiba,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak menerusi JKM sentiasa komited menyalurkan bantuan bulanan yang bersesuaian kepada golongan sasar.
Menurutnya, bantuan tersebut bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan, malah sebagai tanda sokongan agar penerima dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
“Secara keseluruhan, sepanjang tahun lalu, seramai 57,073 penerima menerima bantuan di bawah lapan skim bantuan yang dilaksanakan dengan jumlah peruntukan keseluruhan mencecah RM299.7 juta,” jelasnya.



