BETONG: Sebanyak RM3.17 juta pampasan dibayar kepada 59 pemilik tanah bagi tujuan pembangunan dua projek jalan di Betong.
Menurut Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, bayaran keseluruhan RM3,171,013.65 dibuat bagi pengambilan tanah untuk Projek Jalan Baharu Maja ke Penurin dan Projek Jalan Akses Jambu Krampak ke Rantau Layang.
“Projek jalan baharu dari Rumah Panjang Maja ke Penurin sepanjang 5.2 kilometer yang membabitkan keluasan tanah 10.3 hektar melibatkan 43 lot iaitu 29 lot tanah berhak milik.
“Ia termasuk juga 14 lot tanah yang tertakluk kepada Hak Adat Bumiputera dan Tanah Rizab Komunal Bumiputera.
“Kerajaan membayar RM2,890,321.20 kepada 40 pemilik tanah,” katanya.
ADUN Bukit Saban itu berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah di Dewan Layar, Pejabat Daerah Betong, hari ini.
Jelasnya, projek jalan tersebut telah diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri pada 13 Oktober 2020 dan apabila siap kelak akan meningkatkan pembangunan sosioekonomi kawasan sekitar.
Projek kedua kata Uggah, jalan akses dari Jambu Krampak ke Rantau Layang yang membabitkan keluasan tanah lapan hektar melibatkan 21 lot Tanah Rizab Komunal Bumiputera.
“Jalan itu sepanjang 3.6 kilometer dan kerajaan membayar keseluruhan pampasan RM280,692.45 kepada 19 penerima.
“Projek ini telah diluluskan oleh Majlis Perancangan Negeri pada 4 April 2022,” tambahnya.
Untuk rekod, projek pembinaan diluluskan dengan RM14.5 juta menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), iaitu Rolling Plan Ketiga (2018).
Uggah turut menyempurnakan penyampaian cek kepada penerima sambil disaksikan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu, Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu, Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong TPr Moris Nayup dan Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong Ir Jason Ng Boon Tuan.

